Malaysia bawa keluar 11 rakyat dari Ukraine
Faris Danial Razi
Februari 24, 2022 19:18 MYT
Februari 24, 2022 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang kini berada di Ukraine sedang digerakkan walaupun situasi di Kiev tidak begitu meruncing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Wisma Putra telah menghubungi kesemua 11 rakyat Malaysia di negara itu dan mendapati mereka berada dalam keadaan selamat.
“Di Ukraine ketika ini terdapat 11 rakyat Malaysia iaitu lapan di Kiev, manakala tiga lagi di luar ibu negara.
“Wisma Putra juga telah pun menghubungi mereka, dan proses membawa keluar juga telahpun dilaksanakan.
“Jadi rakyat kita dalam keadaan selamat dan saya ingin maklumkan bahawa kepentingan rakyat kita menjadi perkara utama, jadi disebabkan itulah kita ambil tindakan segera.
“Tindakan ini diambil walaupun situasi di Kiev tidaklah begitu meruncing sangat setakat ini namun, kita dah keluarkan rakyat kita dari Ukraine,” ujarnya dalam satu sidang media di Kemboja pada Khamis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah bahawa negara-negara ASEAN tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dalam masa terdekat susulan krisis Rusia dan Ukraine kerana ia perlu dibuat secara konsensus.
“Malaysia bersetuju ASEAN sebuah pertubuhan negara negara bebas, kita tidak mencampuri urusan negara luar, PM Kemboja, Hun Sen juga bersetuju kita tidak akan membuat sebarang kenyataan.
"Ia melainkan negara-negara ASEAN buat perbincangan dan memutuskan secara konsensus untuk mengeluarkan kenyataan bersama.
“Selagi tidak ada keputusan konsensus ASEAN, selagi itulah kita tidak membuat sebarang kenyataan atas nama ASEAN.
“Ia meskipun Hun Sen merupakan Pengerusi ASEAN 2022, beliau masih perlu berunding dengan negara ASEAN.