Malaysia bantu WHO dapatkan data keberkesanan tiga ubat rawat COVID-19
Bernama
Ogos 13, 2021 21:37 MYT
Ogos 13, 2021 21:37 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia akan menjalankan penyelidikan terhadap tiga jenis ubat merawat pesakit COVID-19, susulan ujian antarabangsa besar-besaran yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemilihan Malaysia dalam ujian itu diharap dapat membantu WHO, mendapatkan data-data mengenai keberkesanan tiga ubat tersebut iaitu artesunate, imatinib dan infliximab.
"Kita harap dapat membantu WHO untuk mendapatkan data-data dan kita ada pesakit yang cukup untuk kita jalankan kajian tersebut," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.
Dr Noor Hisham berkata, ubat artesunate digunakan bagi rawatan penyakit malaria yang teruk, imatinib pula adalah untuk kanser darah atau leukemia, manakala infliximab bagi merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid arthritis.
"Tiga-tiga ubat ini ada kesan anti viral. Kita nak kaji lihat keberkesanan ubat ini untuk digunakan merawat pesakit COVID-19," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Malaysia sebelum ini dipilih WHO bersama dalam ujian solidariti yang melihat kepada empat jenis ubat iaitu Remdesivir, Hydroxychloroquine, Lopinavir dan Interferon.
Namun beliau berkata, keputusan ujian penyelidikan yang diperoleh pada Oktober tahun lepas mendapati, keberkesanan ubat tersebut kurang atau tidak membantu pesakit COVID-19.
"Contoh Hydroxychloroquine, ada satu masa pada gelombang kedua kita banyak menggunakan Hydroxychloroquine dan Lopinavir, tetapi kajian membuktikan ubat ini tidak berkesan dan kita telah berhenti penggunaan ubat tersebut," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kajian ujian penggunaan tiga jenis ubat baharu membabitkan ribuan pesakit sukarelawan di 600 hospital di 52 negara itu, akan lebih meyakinkan serta mengukuhkan sama ada penggunaan ubat tersebut berkesan atau sebaliknya.
Semalam, WHO mengumumkan ujian antarabangsa terhadap tiga jenis ubat, bagi menentukan sama ada ia boleh digunakan merawat pesakit COVID-19 di hospital.
Katanya, ubat itu dipilih oleh panel pakar bebas bagi melihat potensinya mengurang risiko kematian pesakit COVID-19, yang dimasukkan di hospital.
-- BERNAMA
#Malaysia
#data keberkesanan
#WHO
#ubat
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#artesunate
#imatinib
#infliximab