Malaysia bantu Singapura, Indonesia bawa rakyat pulang dari Iran
Syafik Shukri Jalil
Mac 21, 2020 15:04 MYT
Mac 21, 2020 15:04 MYT
Kerajaan Malaysia bersetuju membawa pulang 46 rakyat Malaysia, lapan warga Singapura dan seorang warga Indonesia yang terkandas di Iran sebagai meraikan semangat ASEAN.
Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, persetujuan itu dicapai menerusi persidangan video antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawatan beliau dari Indonesia, Retno Marsudi dan Singapura, Vivian Balakrishnan.
“Malaysia bersetuju untuk membantu membawa pulang 8 orang rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia dari Iran,” katanya.
“Kesemua mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Ahad jam 6.10 pagi dengan menaiki pesawat sewaan khas AirAsia,” kata Kamarudin dalam sidang media, di sini pada Sabtu.
Selain rakyat dari tiga negara yang terkandas, pesawat berkenaan juga akan membawa 15 krew penerbangan serta lapan petugas termasuk lima dari Kementerian Kesihatan Malaysia, dua petugas Wisma Putra dan seorang petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Sementara itu, beliau berkata, 1,116 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India juga akan dibawa pulang ke tanah air dalam waktu terdekat.
Menurut Kamarudin, keputusan itu dibuat hasil perbincangan Hishammuddin dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan syarikat penerbangan AirAsia.
"Kepulangan mereka bakal menggunakan enam buah pesawat Air Asia jenis A320 yang disewa khas dan kesemua enam pesawat ini akan membawa pulang rakyat Malaysia melalui Chennai dan Trichy.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa segala kos sewaan penerbangan ini berjumlah RM1.05 juta akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC,” tambah beliau.
Dalam pada masa sama, beliau berkata, Wisma Putra dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Malaysia Airports Berhad sedang giat berusaha menyelaraskan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Mumbai.
Untuk menjayakan usaha ini katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang berusaha mendapatkan kelulusan mendarat bagi dua penerbangan MAS daripada kerajaan India.
#ASEAN
#India
#Indonesia
#Iran
#Kamarudin Jaffar
#MIC
#penerbangan
#rakyat Malaysia
#Singapura
#terkandas