'Malaysia bantu China tubuh Pusat Kebudayaan di ibu negara' - Mas Ermieyati
Wan Syamsul Amly
September 23, 2016 16:52 MYT
September 23, 2016 16:52 MYT
Kerajaan akan membantu Kedutaan China di Kuala Lumpur dalam mencari panduan serta mendapatkan kelulusan yang bersesuaian untuk penubuhan Pusat Kebudayaan China (CCC) di ibu negara.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama badan-badan kerajaan serta agensi-agensi berkaitan setelah proses pendaftaran penubuhan tersebut selesai.
"Selain seni persembahan, kedua pihak perlu fokus kepada bidang lain seperti muzium, warisan adat resam, seni visual dan sebagainya.
"Dalam hal ini, Timbalan Ketua Pengarah Warisan, Mod Zaky Din juga telah menyatakan hasrat Malaysia untuk mempelajari, bertukar pendapat serta pengalaman dengan pihak Kerajaan China dalam memelihara tapak tinggalan sejarah seperti Dun Huang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mas Ermieyati berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kebudayaan China, Ding Wei baru-baru ini.
Semasa kunjungan hormat tersebut, Mas Ermieyati turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Ding Wei atas kecekapannya sebagai moderator pada mesyuarat meja bulat menteri-menteri ASEAN sebelum ini.
Mas Ermieyati turut menyatakan keputusan yang disuarakan sewaktu mesyuarat menteri-menteri tersebut seharusnya dilaksanakan segera.
"Ia memandangkan Malaysia dan China telah mengikat perjanjian kerjasama dua hala dan berkongsi nilai yang sama dalam memastikan proses kebudayaan itu terus berkembang menjadi pemacu kepada ekonomi negara," katanya.
Jelasnya lagi, lanjutan dari termeterai persefahaman kedua pihak ke atas Program Pertukaran Budaya (CEP) pada 29 May 2014, Ding Wei juga bersetuju ke atas usul Malaysia untuk menghantar dua orang pakar ekskavasi sejarah bagi membantu mengenal pasti serta membuat garis panduan terbaik dalam memelihara dan memulihara kesan tapak tinggalan sejarah budaya.
"Ia termasuk yang tampak atau tidak sebagaimana digariskan oleh UNESCO memandangkan UNESCO juga telah menubuhkan dua buah pusat operasinya di China," katanya.