Malaysia-Bangladesh meterai MoU bawa masuk 1.5 juta pekerja
Astro Awani
Februari 18, 2016 17:32 MYT
Februari 18, 2016 17:32 MYT
Bangladesh dan Malaysia hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.
Menurut laporan berita The Daily Star, perjanjian itu ditandatangani di sini di antara Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh Nurul Islam pukul 10 pagi tadi (pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).
Berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus.
Menurut laporan berita itu lagi, perjanjian baharu itu menyaksikan buruh warga Bangladesh akan direkrut ke dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
Levi bagi pekerja Bangladesh ditetapkan pada kadar RM1,946 (Tk37,000).
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir lawatannya ke California dilaporkan berkata akan membincangkan cadangan kontroversi membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh itu bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Najib, kerajaan akan memastikan apa jua tindakan diambil bagi mengisi keperluan ekonomi.
Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan timbulnya masalah sosial susulan kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang besar.
#1.5 juta pekerja
#bangladesh-malaysia
#mekanisme penghantaran pekerja
#perjanjian persefahaman
#sistem g2g plus