Malaysia bakal teroka kaedah baharu termasuk teknologi AI atasi banjir - Ahmad Zahid

Bernama
Februari 21, 2024 00:19 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan sesuatu semasa lawatan kerja ke Pejabat Tindakan Bencana, Biro Kemajuan Wilayah Kinki, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) di Osaka. - Foto BERNAMA
OSAKA: Malaysia bakal mengaplikasikan beberapa kaedah baharu yang digunakan oleh Jepun dalam pengurusan bencana di negara itu, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi mengatasi masalah banjir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu dilihat berkesan dalam menangani isu bencana alam terutama dalam tempoh jangka panjang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata usaha itu akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Saya berpendapat pengalaman berada di Osaka ini satu pengalaman perlu bagi kita menyediakan rancangan jangka panjang supaya masalah banjir dapat diurus dengan baik.
"Untuk mengatasi masalah banjir ini bukan sahaja mengenai soal kebajikan kepada mangsa banjir tetapi soal bagaimana pengairan, pengaliran dan juga tebatan banjir harus dilakukan bersama-sama teknologi yang baharu," katanya.
Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun berkata demikian kepada media Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan bencana di Osaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata apa yang diperoleh daripada pengalaman pihak berkuasa tempatan di Osaka dapat digunakan di Malaysia, termasuk dalam soal pembinaan tebatan banjir dan pemasangan pam penyedut air dalam kapasisiti besar yang telah dilakukan di sini sejak 45 tahun lepas.
"...dan permasalahan jangka panjang penyelesaian mesti dilakukan ketika kos untuk pemasangan dan juga pembaikan serta mengubah suai dan menaik taraf ini.. ketika kos yang tidak terlalu tinggi berbanding apabila ia dilakukan untuk 30 tahun atau 50 tahun mendatang," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengkoordinasi semua mitigasi yang harus dilakukan bagi mengurangkan risiko bencana di Malaysia.
-- BERNAMA
#Malaysia #teroka kaedah baharu #teknologi AI #atasi masalah banjir #Ahmad Zahid Hamidi #osaka
;