Malaysia bakal ratifikasi Perjanjian Paris Mengenai Perubahan Iklim
Tan Su Lin
Oktober 19, 2016 13:17 MYT
Oktober 19, 2016 13:17 MYT
Malaysia bakal meratifikasi perjanjian Perubahan Paris Mengenai Perubahan Iklim tidak lama lagi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata kementeriannya akan menghantar dokumen berkaitan ke Jawatankuasa Kerangka PBB untuk Perubahan Iklim di New York selepas ia dibentangkan di peringkat Kabinet 4 November ini.
Ujar beliau, Malaysia tetap komited dengan hasratnya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 seperti mana dijanjikan pada persidangan iklim Paris tahun lalu.
Ia melibatkan pengurangan sebanyak 35 peratus tanpa syarat dan 10 peratus lagi bersyarat berdasarkan penerimaan bantuan kewangan dan peralihan teknologi.
"Syarat-syarat ini adalah untuk menjaga industri pembuatan peti sejuk dan pendingin hawa yang menggunakan hydrocholorcarbon untuk penyejukan dan bagi 10 peratus lagi yang bersyarat ini, kami berharap akan mendapat peralihan teknologi dari negara-negara maju ke negara ini.
"Ini juga bermakna kita tidak perlu membayar apa-apa, ia akan dibiayai oleh dana perubahan iklim. Jadi industri kita akan selamat dan negara juga dapat mengurangkan pelepasan gas kesan rumah hijau," katanya pada sidang media di lobi parlimen.
Selaras dengan perjanjian yang ditandatangani 195 negara pada Persidangan Iklim Paris 2015, Malaysia antaranya telah menyatakan komitmen untuk mengekalkan 50 peratus kawasan hutannya.