Malaysia bakal penerima manfaat terbesar RCEP dari kalangan negara ASEAN - Azmin
Firdaus Azil
Julai 27, 2022 11:57 MYT
Julai 27, 2022 11:57 MYT
KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk melihat kesan pertumbuhan ekonomi hasil pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia memandangkan RCEP baru dikuatkuasakan pada Mac lepas.
Namun, tambahnya, Malaysia bakal menerima manfaat terbesar dari perjanjian tersebut, berbanding negara ASEAN lain.
Memetik laporan Persidangan Perdagangan Dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), beliau berkata, Malaysia diunjurkan mencatat nilai peningkatan eksport sehingga USD200 juta.
"Menurut satu kajian United Nations Conferences Trade And Development (UNCTAD) yang diterbitkan pada 15 Dis 2021, bertajuk 'A New Centre Of Graviti: The Regional Comprehensive Economic Partnership And Its Trade Effects', Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar dari negara ASEAN dari segi eksport, dengan nilai unjuran peningkatan eksport USD 200 juta.
“(Ia) melalui penghapusan serta pengurangan tarif bagi barangan dagangan serta penambahbaikan kemudahan eksport dan import barangan negara RCEP,” kata Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang bertanya mengenai impak perdagangan negara sejak RCEP dikuatkuasakan.
Selain itu, Darell yang juga bekas menteri MITI mahu tahu mengenai impak pelaksanaan Dasar Sifar COVID-19 China ke atas perdagangan antara Malaysia dan negara itu.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Azmin berkata, nilai dagangan antara kedua-dua negara telah mencatat pertumbuhan dua digit selama 19 bulan berturut-turut.
"Namun, kalau kita melihat prestasi perdagangan bagi negara kita pada bulan Jun ini, berlaku peningkatan 43.4 peratus atau RM270.39 bilion.
“Dan perdagangan dengan China, yang juga anggota RCEP, telah mencatat pertumbuhan dua digit bagi 19 bulan berturut-turut.
"Jadi, sementara dunia menghadapi kekangan dan juga cabaran besar, Malaysia akan terus menjalin hubungan kerjasama diplomatik, perdagangan dan pelaburan dengan China dan negara-negara anggota RCEP,” katanya lagi.