Malaysia bakal jadi tuan rumah WWLS 2023

Eton Khir
September 27, 2022 09:00 MYT
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun bersama Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Dr Hafsah Hashim ketika Majlis Pra-pelancaran WWLS 2023. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi Sidang Kemuncak Kepimpinan Wanita Sedunia 2023 (WWLS 2023) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 hingga 3 Mac 2023.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, bertemakan ‘News Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’, penganjuran WWLS 2023 bertepatan dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat dan agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19.
Jelasnya, inisiatif tersebut sekali gus dapat memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan komuniti.
“Akan membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global dalam segenap aspek termasuk kesihatan, sains dan teknologi,perniagaan, kewangan, pendidikan, tadbir urus kerajaan dan isu-isu alam sekitar.
“Selain itu, kita juga menjangkakan akan menampilkan lebih 20 ikon bertaraf dunia termasuk pemimpin-pemimpin sektor awam, tokoh-tokoh korporat serta ketua-ketua negara dalam kalangan wanita.
“Malahan, lebih 2000 delegasi dari 30 buah negara termasuk pemimpin wanita tersohor dunia dijangka akan menyertai WWLS 2023 ini,” beliau berkata demikian selepas Majlis Pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kepimpinan Wanita Sedunia 2023 (WWLS 2023) pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, Chua Choon Hwa, Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Dr Hafsah Hashim, dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.
Di samping itu, Rina berkata, WWLS 2023 akan menjadi sebuah pentas global untuk berbincang secara terbuka mengenai kesediaan wanita menghadapi cabaran-cabaran khasnya dalam dunia baharu pasca-pandemik sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan wanita serta meningkatkan kesaksamaan gender di Malaysia.
“WWLS ini juga akan menghasilkan resolusi yang dijadualkan diisytiharkan oleh Perdana Menteri bagi mengetengahkan agenda pemerkasaan kepimpinan wanita hingga ke peringkat global,” katanya.
Penganjuran WWLS 2023 ini akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Pada masa yang sama, KPWKM dan Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation) selaku penganjur bersama juga mengalu-alukan kolaborasi dan sumbangan daripada sektor korporat, kerajaan dan swasta bagi menjayakan WWLS 2023.
Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini boleh layari laman web www.womenleadershipfoundation.com
KPWKM | Malaysia bakal jadi tuan rumah WWLS 2023
*Artikel ini adalah kandungan berbayar
#WWLS 2023 #KPWKM #wanita #Rina Harun