Malaysia bakal bangunkan vaksin manusia
Bernama
Januari 30, 2023 04:09 MYT
Januari 30, 2023 04:09 MYT
KUALA LUMPUR: Satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai melibatkan tiga pihak di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM) bagi meneroka potensi projek pembangunan ekosistem vaksin tempatan, demi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa depan.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan memaklumkan pertukaran MoU itu melibatkan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), MVP Healthcare Sdn Bhd dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd dengan disaksikan oleh menterinya Chang Lih Kang.
"Usaha ini juga membolehkan Malaysia mengembangkan kerjasama antarabangsa dan mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk diperkukuh, dipromosikan dan dibangunkan dalam kerjasama strategik berasaskan manfaat bersama, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN)," menurut kenyataan itu semalam.
Langkah itu juga selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di bawah Teras Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan.
Pada 1 Nov 2021, kerajaan memberi mandat kepada NIBM-MGVI untuk menyelaras usaha dan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta pembangunan vaksin manusia.
Pfizer dan MVP Healthcare telah menzahirkan sokongan terhadap visi itu dengan mengenal pasti bidang kerjasama untuk diteroka dalam pembentukan ekosistem vaksin negara seperti di dalam PPVN bagi mencapai aspirasi Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia.
-- BERNAMA