'Malaysia Baharu' tiada makna tanpa 'pembaharuan manusia'

Astro Awani
Julai 26, 2018 18:55 MYT
Tidak akan ada pembaharuan atau reformasi yang bererti, tanpa pembaharuan manusia Malaysia. - Gambar hiasan
Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil berkata, Malaysia yang baharu - terma yang menjadi fokus sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memerlukan 'jiwa dan minda baharu', bukan hanya setakat menggantikan pemimpin atau kerajaan yang lama.
Pengerusi Institut Darul Ehsan itu berkata, Malaysia yang baharu perlu ada 'pembaharuan manusia' jika ingin melihat perubahan yang menyeluruh dengan membawa perubahan dari segi karakter pada diri rakyat.
"Yang pertama harus baharu dalam Malaysia baharu ialah manusianya. Tidak akan ada pembaharuan atau reformasi yang bererti, tanpa pembaharuan manusia Malaysia.
"Kerana itu memang sudah sewajarnya diutamakan agenda membina karakter manusia Malaysia baharu dengan nilai-nilai keagamaan. Mengisi dan memaknai era baharu bukan hanya dengan mengganti orang lama dengan orang baharu, tetapi dengan membina jiwa dan minda baharu, inventing a new soul," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam syarahan bertajuk Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional pada seminar kebangsaan anjuran bersama Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini.
Dr Siddiq merujuk kepada landskap sosiopolitik negara yang dikaitkan dengan Malaysia sejak perubahan kerajaan dan barisan kepimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Keputusan itu membawa kepada Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pentadbiran persekutuan menggantikan Barisan Nasional (BN) yang memerintah lebih enam dekad.
Tokoh akademik itu yang menyentuh aspek integriti dan perpaduan dalam syarahannya berkata, sempena era Malaysia baharu; "Kita harus buktikan bahawa agama bukan penghalang, tetapi sebaliknya pendorong kepada pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu."
Dengan kata lain, Tokoh Maal Hijrah Perak Tahun 1427H berkata, agama bukan pemecah, tetapi sebaliknya sebagai kekuatan pemersatu.
"Telah sekian lama tamadun-tamadun besar dunia (Islam, Barat dan Timur) bertemu di sini, berinteraksi dan berdialog sehingga kita boleh berbangga bahawa daerah ini adalah yang paling kaya dengan pengalaman dialog ketamadunan.
"Dialog (hari) ini seharusnya diteruskan ke tahap pelaksanaan eksperimen besar social engineering membina bangsa Malaysia berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan," kata beliau.
Dr Siddiq seterusnya memberitahu, telah berdekad-dekad lamanya rakyat berbicara tentang perpaduan nasional, persefahaman antara kaum, keharmonian antara agama dan lain-lain yang semakna.
Justeru soal beliau: "Bilakah akan tiba masanya kita berbicara tentang bangsa Malaysia?"
"Hingga ke saat ini ramai yang masih meragukan adanya bangsa Malaysia. Yang ada hanya warganegara Malaysia. Malah ada yang menyebut Malaysia sebagai a state without nation atau a state with several competing nations. Kegagalan membina satu bangsa Malaysia setelah lebih 60 tahun merdeka adalah suatu aib nasional yang harus segera ditangani."
Menurut beliau, kepelbagaian harus diterima seadanya sebagai ciptaan, kurnia dan takdir Tuhan yang mengandungi hikmah tersendiri.
Kerana itu katanya, ia harus disikapi secara positif dan ditangani dengan optimistik.
"Menurut perspektif Islam kepelbagaian (bangsa dan agama) wujud dengan kehendak Tuhan yang bertujuan untuk membina kesalingan, bermula dengan saling mengenal (lita'arafu) dan seterusnya saling menghormati, saling bertukar manfaat, saling memperkaya dan saling bekerjasama.
"Kepelbagaian yang dipersepsi dengan benar dan diurus dengan matang dan bijaksana akan menghasilkan kesatuan yang kompak dan membuahkan tamadun yang kaya. Justeru, sebuah pasukan yang baik adalah pasukan yang terdiri daripada anggota yang beragam dan pelbagai keahlian. Ini bererti kepelbagaian adalah kekuatan," tambah beliau.
#bangsa malaysia #kerajaan #Malaysia #Malaysia Baharu #Pakatan Harapan #pentadbiran #prof dr siddiq fadzil #rakyat Malaysia
;