Malaysia, Australia kongsi maklumat risikan tentang keganasan atau Daish

T K Letchumy Tamboo
Mac 21, 2016 11:08 MYT
Hishammuddin dan Payne berharap kerjasama antara dua negara ini akan memberi manfaat hingga dekad-dekad ankan datang. - Foto Bernama
Malaysia dan Australia akan berkongsi maklumat risikan berkaitan aktiviti keganasan atau yang melibatkan Daish.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ini termasuk maklumat dan risikan mengenai kawasan-kawasan yang harus diawasi.
Menurut Hishammuddin, beberapa faktor penting akan diambil kira agar perkara serupa tidak berlaku di Malaysia, seperti mengenal pasti pergerakan militan di negara-negara ASEAN.
"Situasi yang berlaku di Asia Barat tidak harus dibenarkan berlaku di sini. Saya merujuk kepada perkembangan di selatan Filipina dan selatan Thailand, dan juga yang berlaku di Myanmar malah dari China, apabila melibatkan orang Rohingya dan Uighur.
"Ini adalah sesuatu yang kita belajar setelah kita mengikuti cerita dan perkembangan dari Asia Barat. Ia sesuatu yang kita perlu beri perhatian, khususnya bagi Malaysia dan Australia dalam kerjasama menentang militan dan keganasan terutamanya ancaman Daish," ujar Hishammuddin yang turut menyebut tentang hubungan kerjasama serantau dalam menangani Daish.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan dengan Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne berkata, kerjasama terbabit tidak akan hanya menjurus kepada satu permasalahan bersama malah untuk kerjasama jangka masa panjang di peringkat global.
"Kita bukan saja melihat kerjasama dalam jangka masa terdekat, malah ini untuk dekad-dekad seterusnya.
"Kita telah mengenal pasti beberapa perkara dalam perbincangan ini dan kita akan bekerjasama atas tujuan dan keperluan yang sama," ujar beliau.
Selain itu kedua-dua pemimpin turut membincangkan perancangan keselamatan jangka panjang membabbitkan isu pertikaian di Laut China Selatan.
Payne mengadakan kunjungan rasmi ke atas Hishammuddin di Wisma Pertahanan, di ibu negara pada Isnin.
#banteras keganasan #daish #Hishammuddin Hussein #kerjasama dua hala dan serantau #Malaysia Australia #militan #risikan aktiviti pengganas