Malaysia, Australia bincang kerjasama pelbagai sektor bawah kerangka CSP - PM

Bernama
September 6, 2023 23:05 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 Ke-43. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Australia Anthony Albanese, membincangkan usaha bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, di bawah kerangka Rakan Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).
Anwar berkata perkara tersebut, dibincangkan dalam pertemuan dua hala pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan, di Jakarta, Indonesia hari ini.
"Peluang ini ruang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama, termasuklah perkembangan serantau dan antarabangsa, selain turut membincangkan mengenai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia yang kedua, yang akan dihoskan oleh Australia," katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, malam ini.
Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia juga mengalu-alukan sambutan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia, yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Mac 2024 di Melbourne, bagi memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara, sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (US$20.05 bilion), menjadikan Australia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar di peringkat global bagi Malaysia.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol; Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau; Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida; Perdana Menteri Cook Islands Mark Brown dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab.
Dalam pertemuannya dengan Schwab, Anwar berkata mereka membincangkan usaha dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan WEF, serta persiapan untuk Mesyuarat Tahunan WEF yang dijadualkan dari 15 hingga 19 Jan 2024 di Davos-Klosters, Switzerland.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN dari 5 hingga 7 Sept dan ia merupakan sidang kemuncak pertamanya bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN melibatkan Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
-- BERNAMA
#Malaysia #Australia #kerjasama pelbagai sektor #CSP #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Anthony Albanese
;