Malaysia, Arab Saudi setuju promosi pelancongan, kebudayaan

Bernama
Mac 3, 2022 21:15 MYT
Menurut Nancy, sebagai rakan perhubungan diplomatik yang rapat dengan Arab Saudi, Malaysia terus komited memastikan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pelancongan dan kebudayaan dipertingkatkan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk mempelbagaikan pakej-pakej menarik bagi mempromosikan kedua-dua negara dalam usaha untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan bagi kepentingan bersama.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan semalam berkata perkara itu dipersetujui ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Qattan di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini pada Rabu.
"Turut dibincangkan adalah hal berkaitan umrah dan kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang pelancongan dan kebudayaan apabila sempadan kedua-dua negara dibuka sepenuhnya kelak," katanya.
Menurut Nancy sebagai rakan perhubungan diplomatik yang rapat dengan Arab Saudi, Malaysia terus komited untuk memastikan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pelancongan dan kebudayaan dipertingkatkan.
Beliau berkata pemeteraian Perjanjian Kerjasama Kebudayaan dan Saintifik pada 1976 dan Perjanjian Persefahaman dalam bidang pelancongan pada 2016 telah membuka banyak peluang untuk kedua-dua negara bekerjasama dan saling menyokong pembangunan dan promosi industri pelancongan dan kebudayaan yang mampan, kompetitif dan inklusif.
-- BERNAMA
#Nancy Shukri #MOTAC #Arab Saudi #Malaysia