Malaysia-Arab Saudi setuju anjur pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur

Bernama
Oktober 1, 2022 07:21 MYT
Perkara itu dicapai menerusi mesyuarat dua hala antara menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kebudayaan Arab Saudi Putera Badr Abdullah. - Facebook/Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bersetuju menganjurkan Pertunjukan Fesyen Malaysia-Arab Saudi di Kuala Lumpur yang akan memberi fokus dalam mempromosikan keunikan seni tekstil kedua-dua negara.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkara itu dicapai menerusi mesyuarat dua hala antara menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kebudayaan Arab Saudi Putera Badr Abdullah.
"Selain itu, antara perkara yang dibincangkan termasuk kerjasama kebudayaan khususnya dalam bidang pemuziuman antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia pada tahun depan," menurut kenyataan itu.
Nancy telah mewakili kerajaan Malaysia ke Persidangan Dunia UNESCO mengenai Dasar Kebudayaan dan Pembangunan Lestari (MONDIACULT 2022) yang diadakan di Mexico City, Mexico pada 28 hingga 30 Sept.
MOTAC dalam kenyataan sama memaklumkan Nancy menyampaikan kenyataan negara yang bertemakan 'Renewed and Strengthened Cultural Policies' dalam persidangan itu.
Melalui kenyataan negara tersebut, beliau telah berkongsi inisiatif negara dalam membangunkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) sebagai sumber rujukan membentuk masyarakat Malaysia yang berbudaya ke arah menjadi sebuah negara maju.
"Beliau turut mengutarakan perencanaan Malaysia dalam hala tuju sektor kebudayaan melalui transformasi pendigitalan dan pelaburan khusus berpaksikan pemeliharaan, pemuliharaan serta pengembangan industri seni, budaya dan kreatif," menurut kenyataan itu.
Sebagai wakil Malaysia yang merupakan anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara untuk sesi 2022-2026, Nancy turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Kebudayaan Guatamala Mario Roberto Maldonado Samayoa.
Antara perkara yang dikongsikan dalam pertemuan tersebut adalah pengalaman mengenai pencalonan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.
-- BERNAMA
#malayia-arab saudi #pertunjukan fesyen #MOTAC #Nancy Shukri