Malaysia antara 34 negara serantau seru perlindungan pasukan pengaman UNIFIL
Bernama
Oktober 13, 2024 05:30 MYT
Oktober 13, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia bersama 33 negara lain yang menyumbang kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menandatangani kenyataan bersama menyeru perlindungan pasukan pengaman PBB.
Kenyataan bersama itu, yang dikongsi di akaun X Misi Tetap Poland ke PBB (@PLinUN), mengecam keras serangan baru-baru ini ke atas pasukan pengaman UNIFIL, menyeru agar tindakan sedemikian dihentikan serta-merta dan penyiasatan terperinci dijalankan.
"Kami menggesa semua pihak dalam konflik untuk menghormati kehadiran UNIFIL, yang membawa kewajipan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan kakitangannya pada setiap masa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu susulan kecederaan lima anggota UNIFIL dalam beberapa insiden melibatkan serangan oleh tentera Israel di ibu pejabat UNIFIL di Naqoura, selatan Lubnan.
Ia turut mendesak semua pihak agar menghormati mandat misi itu dan memastikan keselamatan pasukan pengamannya di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau berkenaan.
Kenyataan bersama itu menegaskan peranan penting yang dimainkan UNIFIL dalam mengekalkan kestabilan dan memupuk keamanan berkekalan di Selatan Lubnan dan Timur Tengah.
Ia juga menegaskan komitmen negara penyumbang untuk menyokong misi itu selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.
Kenyataan itu turut menyertakan bendera kesemua 34 negara penandatangan, melambangkan sokongan bersatu mereka terhadap misi UNIFIL.
Selain Malaysia, negara-negara lain yang menandatangani kenyataan bersama ini termasuk Armenia, Austria, Bangladesh, Brazil, Kemboja, China, Cyprus, El Salvador, Estonia, Fiji, Finland, Perancis, Ghana, Guatemala, Hungary, Indonesia, Ireland, Itali, Kazakhstan, Korea Selatan, Latvia, Malta, Mongolia, Nepal, Belanda, Poland, Qatar, Sierra Leone, Sepanyol, Sri Lanka, Turkiye, United Kingdom dan Tanzania.
Media baru-baru ini melaporkan Jean-Pierre Lacroix, Setiausaha Agung bahagian operasi keamanan, mengatakan terdapat 10,058 anggota pengaman di Lubnan.
-- BERNAMA