Malaysia antara 19 negara EAAF destinasi burung hijrah - Takiyuddin
Bernama
Oktober 8, 2022 11:15 MYT
Oktober 8, 2022 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia adalah satu daripada 19 negara ahli East Asian-Australasian Flyway (EAAF) yang merupakan destinasi untuk burung hijrah berehat, mencari makanan dan perlindungan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan sempena Hari Burung Hijrah Sedunia di sini hari ini berkata setiap tahun, terdapat lebih 50 juta spesies burung hijrah bermigrasi melalui EAAF untuk mengelakkan musim sejuk di negara asal.
"East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP) telah ditubuhkan pada 6 Nov 2006 bertujuan untuk memberi fokus kepada perlindungan burung hijrah, habitat dan komuniti manusia yang bergantung dengannya.
"Bako Buntal Bay, Sarawak telah diiktiraf sebagai Flyway Network Site yang pertama di Malaysia pada tahun 2013," katanya.
Beliau berkata "Malapkan Cahaya Waktu Malam Demi Burung!" telah dipilih sebagai tema pada sambutan tahun ini bagi menyeru masyarakat dunia untuk memalapkan lampu yang tidak diperlukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan kepada burung hijrah.
Katanya lampu yang terang boleh mengelirukan serta boleh menyebabkan haiwan itu terlanggar bangunan semasa terbang di waktu malam selain mengganggu ritma biologi burung hijrah.
"Sempena Hari Burung Hijrah Sedunia pada hari ini, saya menyeru semua pihak untuk sama-sama membulatkan tekad dan memperhebatkan usaha dalam memulihara burung hijrah.
"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) selaku national focal point bagi EAAFP juga mengalu-alukan kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai tapak persinggahan burung hijrah untuk mencalonkannya sebagai Flyway Network Site di Malaysia," katanya.
Hari Burung Hijrah Sedunia disambut setiap Sabtu minggu kedua Mei dan Oktober setiap tahun adalah bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pemuliharaan burung hijrah dan ekosistem mereka di peringkat global.
-- BERNAMA