Malaysia ambil langkah proaktif tangani Islamofobia - PM Anwar
Bernama
Mei 22, 2023 09:19 MYT
Mei 22, 2023 09:19 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah di negara luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.
"Sering diingatkan bahawa sayugia (sepatutnya) kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum. Justeru penting untuk diketengahkan fahaman yang lebih sederhana serta membudayakan Adab al-Ikhtilaf dalam menyikapi perbedaan pandangan," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi di sini hari ini.
Semalam, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan ulama terkenal Zimbabwe Dr Mufti Ismail Menk, Syeikh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Syeikh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia di Putrajaya.
"Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia. Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini.
"Saya nyatakan bahawa pintu kita sentiasa terbuka dan mudah-mudahan negara tercinta ini sentiasa mendapat limpahan berkat dari Allah SWT," katanya.
-- BERNAMA