Malaysia alu-alukan seruan Majlis Hak Asasi Manusia PBB supaya hentikan jualan senjata ke Israel

Bernama
April 5, 2024 07:30 MYT
WISMA PUTRA: Penerimaan resolusi ini adalah selaras dengan tuntutan berterusan Malaysia supaya Majlis Hak Asasi Manusia memenuhi tanggungjawabnya di bawah piagam PBB untuk melindungi rakyat Palestin. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru semua negara supaya menghentikan penjualan, pemindahan dan pengalihan senjata, peluru dan lain-lain peralatan ketenteraan kepada Israel.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar (Wisma Putra) menyeru semua negara supaya memastikan Israel memenuhi obligasinya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk melaksanakan resolusi itu dengan berkesan.
"Resolusi yang dibentangkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ditaja dan disokong oleh Malaysia.
"Penerimaan resolusi ini adalah selaras dengan tuntutan berterusan Malaysia supaya Majlis Hak Asasi Manusia memenuhi tanggungjawabnya di bawah piagam PBB untuk melindungi rakyat Palestin daripada pendudukan haram yang berpanjangan, dasar aparteid dan pelanggaran hak asasi manusia termasuk jenayah kemanusiaan, genosid dan jenayah perang yang dilakukan Israel," kata Wisma Putra.
Malaysia terus bertekad untuk memperjuangkan isu Palestin dan akan terus berusaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara dan supaya Palestin diterima senagai anggota penuh PBB.
Resolusi ini juga menyeru gencatan senjata serta-merta, mengutuk penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan di Gaza dan memberi amaran terhadap sebarang operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel di Rafah.
Ini adalah resolusi pertama oleh Majlis Hak Asasi Manusia bagi menangani krisis di Gaza yang semakin meruncing sejak Oktober 2023.
Resolusi bertajuk "Situasi Hak Asasi Manusia dalam Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Kewajipan Memastikan Kebertanggungjawaban dan Keadilan" telah diluluskan dan diterima pakai semasa Sesi Ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada Jumaat .
Resolusi ini diluluskan oleh 28 daripada 47 negara anggota dengan enam menentang dan 13 berkecuali.
Dicadangkan oleh Pakistan bagi pihak negara anggota OIC kecuali Albania, resolusi ini juga meminta gencatan senjata serta merta dan akses serta bantuan kemanusiaan kecemasan serta merta seperti yang dilaporkan media antarabangsa.
-- BERNAMA
#PBB #Wisma Putra #henti jualan senjata #Palestin-Israel
;