Malaysia alu-alukan kunjungan kapal Tentera Laut Jerman di Pelabuhan Klang
Bernama
Oktober 15, 2024 20:50 MYT
Oktober 15, 2024 20:50 MYT
PELABUHAN KLANG: Malaysia mengalu-alukan ketibaan kapal frigat Tentera Laut Jerman FGS Baden-Wurttemberg dan kapal sokongan tempur, FGS Frankfurt am Main yang berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) di sini dari 15 hingga 18 Oktober.
Ringkasan AI
- IPD24 adalah satu inisiatif ketenteraan yang melibatkan angkatan tentera laut dari negara seperti Jepun dan Jerman, bertujuan meningkatkan kerjasama keselamatan di rantau Indo-Pasifik. - Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia
Kedua-dua kapal Tentera Laut Jerman itu adalah sebahagian daripada Indo-Pacific Deployment 2024 (IPD24), satu inisiatif ketenteraan yang melibatkan angkatan tentera laut dari negara seperti Jepun dan Jerman, bertujuan meningkatkan kerjasama keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Kapal-kapal itu telah belayar di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi sejak Jun 2024, mempamerkan keupayaan tentera laut Jerman dan komitmen mereka terhadap keselamatan maritim.
Semasa lawatan media di atas kapal Baden-Wurttemberg, Duta Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer menekankan hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Jerman, dengan lebih 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.
"Seperti Malaysia, Jerman adalah sebuah negara perdagangan. Syarikat-syarikat ini bukan sahaja mengeluarkan dan menggaji rakyat tempatan, tetapi mereka juga membayar cukai dan menghantar barangan mereka kembali ke Jerman," katanya, mencerminkan hubungan ekonomi yang teguh antara kedua-dua negara.
Blomeyer menegaskan komitmen Jerman terhadap keamanan dan keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Beliau menekankan dedikasi Jerman untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang di perairan antarabangsa, menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran (FON) dan laluan perkapalan yang selamat dari Indo-Pasifik ke Eropah.
Sementara itu, Laksamana Muda Helge Risch dari Baden-Wurttemberg melahirkan rasa gembira berada di Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas sambutan mesra yang diberikan.
"Kali terakhir kapal Jerman melawat Malaysia adalah pada 2002, iaitu 22 tahun lalu. Tetapi saya cukup yakin perkara ini akan berlaku lebih kerap pada masa akan datang kerana ia amat bermakna bagi kami untuk dialu-alukan di sini," katanya.
Risch menjelaskan bahawa lawatan mereka adalah sebahagian daripada diplomasi tentera laut, bertujuan untuk menjalin hubungan dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia.
Lawatan itu termasuk penglibatan profesional, seperti taklimat dengan TLDM sebagai persediaan untuk latihan tentera laut yang akan datang.
Beliau melahirkan harapan untuk kerjasama itu, mengiktiraf profesionalisme TLDM dan menyatakan rasa bersemangat untuk latihan bersama yang akan diadakan selepas mereka berlepas pada 18 Oktober dari PKCT ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi.
Dalam pelayaran mereka, kapal-kapal itu akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak.
Latihan tentera laut dua hala ini bertujuan untuk memperkukuh kebolehoperasian dan kemesraan antara kedua-dua tentera laut.
Selain itu, Jerman dan Malaysia sedang memperdalam hubungan dasar keselamatan melalui projek pembinaan kapasiti, seperti penyediaan dron pemantauan maritim untuk Pengawal Pantai Malaysia yang dibiayai oleh Jerman.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan semasa berlabuh di PKCT, kapal Tentera Laut Jerman akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal, dan interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional TLDM.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menyatakan bahawa lawatan itu mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, yang telah menyaksikan pertukaran lawatan peringkat tertinggi baru-baru ini, termasuk lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac.
"Semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Canselor Jerman Olaf Scholz serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Frank-Walter Steinmeyer, Presiden Jerman di mana perbincangan telah tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat," kata Wisma Putra.
Kementerian itu menekankan bahawa Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman melalui kerjasama dan penglibatan pelbagai aspek yang berterusan.
-- BERNAMA