Malaysia alu-alukan keputusan Liga Arab terima semula keanggotaan Syria
Bernama
Mei 9, 2023 23:14 MYT
Mei 9, 2023 23:14 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia pada Selasa mengalu-alukan keputusan Liga Arab menerima semula penyertaan Syria selepas keanggotaannya digantung selama 12 tahun, menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).
Keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Liga Arab di Kaherah pada Ahad adalah satu langkah konstruktif dalam mewujudkan persekitaran kondusif ke arah meningkatkan kehidupan rakyat di Syria serta memperkukuh keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
"Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Syria dan akan terus menyokong semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi krisis Syria," menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Menurut laporan media, negara-negara Arab bersetuju untuk mengembalikan semula keahlian Syria dalam Liga Arab selepas digantung selama 12 tahun ketika hubungan dengan Damsyik semakin pulih.
Keputusan untuk menerima semula keanggotaan Syria dibuat menjelang sidang kemuncak tahunan Arab di Arab Saudi pada 19 Mei.
Syria telah disingkirkan daripada Liga Arab selepas tindakan keras rejim Bashar al-Assad terhadap penunjuk perasaan pada Mac 2011 mengakibatkan perang saudara tercetus.
Beratus-ratus ribu orang terbunuh manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal akibat krisis yang berlanjutan lebih 12 tahun di Syria.
-- BERNAMA