Malaysia alu-alu kerjasama syarikat telekomunikasi dengan media tempatan, bangun aplikasi AI - Fahmi
Bernama
September 28, 2024 04:20 MYT
September 28, 2024 04:20 MYT
BEIJING: Malaysia mengalu-alukan kerjasama syarikat telekomunikasi dengan mana-mana organisasi media tempatan untuk membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menghasilkan kandungan, serta membuat pelaporan dengan cekap dan berkesan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberikan Huawei sebagai contoh sebuah syarikat dari China yang memiliki aplikasi AI serba canggih dan boleh digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk industri media dan perfileman.
"Saya mendapati terdapat beberapa aplikasi yang sangat menarik, sama ada dari segi digital twinning, aplikasi terjemahan bahasa, large language modelling untuk meneliti ramalan kaji cuaca, dan juga beberapa aplikasi lain untuk mengoptimumkan rangkaian.
"Jadi saya telah minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk meneliti beberapa aplikasi ini, saya juga minta Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) untuk teliti terutama aspek penggunaan AI untuk buat terjemahan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huawei yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun dan U Mobile yang diwakili Ketua Pegawai Pemasaran Navin Manian di sini semalam.
Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama membangunkan penyelesaian untuk pasaran menegak Malaysia, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana dan logistik, menggunakan pengalaman Huawei dengan model perniagaan perusahaan global.
Terdahulu Fahmi meluangkan masa kira-kira 40 minit melihat sendiri teknologi AI yang digunakan Huawei dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, telekomunikasi, penghasilan kandungan digital dan perumahan.
Ditanya berhubung risiko penggunaan AI, beliau berkata kerangka kawal selia teknologi AI yang mapan dan menyeluruh diperlukan bagi memastikan matlamat penggunaan teknologi AI dapat dicapai.
"Kita kena berpandangan jauh, kita tidak boleh terlalu konservatif dalam memahami kemampuan teknologi seperti AI, tapi kita perlu berhati-hati supaya penggunaan teknologi AI tidak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara," katanya.
Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke China bermula Khamis dan dijadual berlepas ke Korea hari ini bagi menyertai GSMA Mobile 360 APAC dan menyampaikan ucaptama menerusi sesi Building the AI-Enabled Digital Backbone.
-- BERNAMA