Malaysia alami gerhana matahari separa pada 20 April
Bernama
April 12, 2023 16:14 MYT
April 12, 2023 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengalami gerhana matahari separa pada 20 April ini bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula 11 pagi hingga selewat-lewatnya 2 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala ia akan tamat lebih awal iaitu sekitar 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.
"Bagi pemerhati di Semenanjung Malaysia, litupan permukaan matahari ketika maksimum adalah pada kadar satu peratus hingga 15 peratus, manakala di Kuching, Sarawak mencecah sehingga 30 peratus dan di Kota Kinabalu, Sabah pula 34 peratus dan yang tertinggi 43 peratus di Tawau," menurut kenyataan itu.
Menurut MOSTI, Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 akan diadakan di Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di bandar Tawau, dengan cermin mata gerhana (eclipse glasses) percuma diedarkan di kedua-dua lokasi bagi membolehkan pengunjung menyaksikan fenomena itu dengan selamat.
Beberapa teleskop dengan penuras khas juga akan disediakan bagi membolehkan pengunjung menyaksikan keadaan itu dengan lebih jelas dan selamat, selain mengabadikan gambar gerhana sama ada menggunakan telefon pintar atau kamera digital lensa tunggal (DSLR) yang digabungkan dengan kemudahan pencerapan yang disediakan.
MOSTI turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan penuras khas kerana ia boleh merosakkan retina mata dan boleh mengakibatkan buta kekal.
Selain itu, penstriman langsung di laman Facebook dan Youtube Planetarium Negara turut disediakan, dengan imej yang bakal dikongsikan adalah fenomena gerhana di Malaysia atau imej yang diambil daripada lokasi lain di seluruh dunia yang turut mengalami gerhana matahari hibrid atau separa.
"Kenampakan fenomena gerhana matahari separa juga amat bergantung kepada keadaan cuaca semasa di sesuatu lokasi ketika kejadian gerhana sedang berlaku pada 20 April nanti.
"Sekiranya sesuatu lokasi mengalami litupan awan tebal atau mendung atau mungkin juga hujan, maka fenomena gerhana matahari separa tidak dapat disaksikan dari lokasi tersebut," menurut kenyataan itu.
MOSTI turut menasihatkan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa untuk tidak berada terlalu lama di bawah sinaran matahari yang boleh menyebabkan nyahhidrat atau kehilangan terlalu banyak air daripada badan.
Gerhana matahari separa adalah fenomena yang jarang berlaku dengan kali terakhir adalah pada 21 Jun 2020 dan ia hanya akan berlaku semula pada 2 Ogos 2027, iaitu sekitar empat tahun lagi.
-- BERNAMA