Malaysia akan siasat secara terperinci punca tragedi MH17
Bernama
Julai 18, 2014 10:23 MYT
Julai 18, 2014 10:23 MYT
Malaysia berikrar akan menyiasat secara terperinci punca yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine, walaupun pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat komersial itu ditembak jatuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekiranya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh, Malaysia akan mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melakukannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
"Usaha akan dilakukan secara habis-habisan," katanya pada sidang akhbar di Sama-Sama Hotel di sini hari ini.
Najib, yang kelihatan sugul pada sidang akhbar yang sesak dengan wakil media itu, berkata laluan penerbangan pesawat berkenaan adalah selamat dan tidak tertakluk kepada sekatan.
Katanya laluan itu diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), manakala Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan.
Beliau berkata Malaysia Airlines mengesahkan Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang, termasuk 15 anak kapal, tidak membuat panggilan kecemasan.
Katanya menurut maklumat yang didedahkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kiev, lokasi alat pengesan kedudukan kecemasan itu ialah 48 darjah, 7 minit dan 23 saat Utara; dan 38 darjah, 31 minit dan 33 saat Timur.
Menurut perdana menteri, pusat operasi kecemasan telah ditubuhkan berhubung tragedi itu, yang beliau sifatkan sebagai "dahsyat dan amat mengejutkan".
Katanya para pegawai Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Ukraine dan tempat lain.
Najib berkata beliau juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine dan pemimpin itu berjanji siasatan penuh, menyeluruh dan bebas akan dijalankan, manakala pegawai Malaysia juga akan dijemput menyertainya.
"Presiden Ukraine itu juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berunding dengan pemberontak di timur negara itu untuk menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat peswat berkenaan terhempas," katanya.
Najib juga berkata beliau telah mengadakan beberapa perbualan dengan Perdana Menteri Netherlands dan akan berbincang dengan beberapa pemimpin dunia berhubung tragedi itu.