Malaysia akan mudahcara rundingan FTA Malaysia-EU - PM
Irfan Faruqi
Mac 15, 2024 07:30 MYT
Mac 15, 2024 07:30 MYT
HAMBURG : Malaysia akan memudahcara sebarang keperluan untuk mempercepat penyertaan negara dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Kesatuan Eropah (EU).
Jaminan tersebut dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dimaklumkan kepada Canselor Jerman, Olaf Scholz,
“Saya yakin dengan kekuatan hubungan bilateral kedua-dua negara perlu diangkat ke tahap integrasi rantau berikutnya. Berdasarkan kepada sikap saling percaya, maka masanya telah tiba untuk memulakan kembali perbicangan mengenai FTA Malaysia-EU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101, dihoskan oleh Pertubuhan Perniagaan Jerman Asia Pasifik (OAV), pada Jumaat.
Melalui FTA tersebut, menurut Anwar, ia akan memboleh Eropah memanfaatkan Malaysia sebagai gerbang ke pasaran Asia dengan disokong oleh FTA ASEAN, Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Untuk konteks, rundingan FTA Malaysia-EU telah dimulakan pada 2010, tetapi tertangguh selepas tujuh sesi perbincangan pada tahun 2012.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai hal geopolitik.
Anwar menegaskan, kedudukan negara yang tidak berpihak menjadikan Malaysia destinasi terbaik untuk perdagangan dan pelaburan bagi negara-negara barat dan timur.
“Perkara yang penting bagi negara-negara Asia Tenggara, khususnya Malaysia adalah untuk kekal menjadi rantau pembangunan, perdagangan dan pertumbuhan.
“Ini akan memperkuat ketahanan (ASEAN) mendepani ketidaktentuan geopolitik dan membolehkan Malaysia menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia. Ini juga membolehkan Malaysia mengeksport tenaga tanpa tekanan geopolitik,” katanya.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman yang bermula sejak 11 Mac lalu dan berakhir pada Jumaat.