Malaysia akan mohon ekstradisi dua suspek penculik Bernard Then
Astro Awani
November 30, 2015 16:09 MYT
November 30, 2015 16:09 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan ekstradisi ke atas dua suspek penculik dan pembunuh warga Malaysia, Bernard Then, daripada pihak berkuasa Filipina dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkenaan tangkapan dua suspek dikenali sebagai Kadafi Kamsa dan Saddam Jailani oleh pihak berkuasa Filipina.
''Ya, kita sudah dapat maklumat jadi kita akan mohon untuk membawa penjenayah itu ke sini untuk dihadapkan ke mahkamah.
''Permohonan sedang dibuat dan ia perlu dirundingkan dulu bagaimana caranya, kemudian kita tunggu apa reaksi Filipina atas permohonan itu,'' katanya selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di sini, hari ini.
Tambahnya, hasrat Malaysia itu sudah disampaikan secara lisan kepada pihak berkuasa Filipina dan akan disusuli dengan permohonan rasmi dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Khalid juga mendedahkan, cubaan culik oleh pengganas militan dari Filipina sering berlaku di Pantai Timur Sabah.
''Cubaan ini (culik) selalu. Tahun ini sahaja tidak kurang 11 cubaan culik oleh penjenayah dan pengganas dari seberang sana dilaporkan di kawasan Pantai Timur Sabah."
Namun katanya, polis dan pasukan keselamatan lain sentiasa berwaspada dan bersiap siaga bagi mematahkan sebarang cubaan jahat yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.
Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak dikatakan dipenggal kepalanya pada 17 Nov lepas di kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, 1,400km di selatan Manila.
Mangsa diculik bersama seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, oleh empat lelaki bersenjata di Restoran Ocean King Sandakan pada 7.45 malam 14 Mei lalu.
Thien dibebaskan penculiknya pada 8 Nov dan dipercayai melibatkan sejumlah bayaran pampasan.
#Abu Sayyaf
#Bernard Then
#culik
#Filipina
#Kadafi Kamsa
#pancung kepala
#penggal kepala
#Saddam Jailani