Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan selamat pada 2021, kata RHB

Bernama
Disember 9, 2020 04:41 MYT
RHB berpendapat kemerosotan pertumbuhan global dalam separuh kedua 2021 adalah positif kepada dolar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan yang selamat pada 2021 di tengah-tengah ketidakstabilan dan perubahan risiko di peringkat dunia, menurut RHB Banking Group.
Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Dr Sailesh Kumar Jha berkata RHB mempunyai pandangan berbeza dengan jangkaan pasaran kewangan umum, yang mana sekiranya ketidakstabilan meningkat di pasaran dunia di tengah-tengah kekurangan dolar US di rantau ini, aliran keluar yang besar dari Malaysia akan berlaku.
"Dalam model kami, sekiranya keadaan turun naik ini meningkat, penyusutan mata wang yang tersedia untuk ringgit merupakan penampan kukuh antara perbezaan kadar faedah sebenar di antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), dan inilah yang akan melindungi kita.
"Kami percaya perkara ini mungkin berlaku dan asas pelabur domestik yang cukup luas juga adalah mencukupi, sekurang-kurangnya dalam pasaran bon pendapatan tetap, yang pada asasnya menghalang aliran keluar modal yang besar secara berterusan," katanya dalam taklimat media bersempena pelancaran penerbitan penyelidikan RHB - Path Finder - Separate the Noise from Reality, di sini, semalam.
Jha berkata kedudukan mudah tunai domestik dan luaran Malaysia di pasaran modal adalah berdaya tahan dan beliau optimis bahawa kerajaan akan menguruskan penyatuan fiskal sebaik sahaja masalah yang membelenggu akibat pandemik COVID-19 dapat diselesaikan, diharapkan, menjelang tahun depan.
"Kami berterusan memihak kepada bon dan sekuriti kerajaan yang agak lama di rantau Asia. Di Malaysia, kami memilih bon kerajaan 15 tahun berikutan ia dijangka akan disokong oleh kerajaan."
Merujuk di peringkat Asia, beliau berkata RHB mendapati Malaysia adalah menonjol memandangkan dalam tempoh ketidakstabilan yang meningkat ini dan pengurangan mudah tunai dolar, aliran keluar modal dari Malaysia akan berkurangan dengan ketara.
Berbanding negara lain di ASEAN, beliau menyifatkan sukar untuk melakukan perbandingan dengan Indonesia, Thailand atau Filipina memandangkan pasaran modal negara-negara ini merangkumi ekuiti, bon dan mata wang adalah kurang kecairan dan pada asasnya, rantaian instrumen yang tidak banyak.
"Bagi pasaran modal Singapura, kami mempunyai sedikit data mengenainya memandangkan pihak berkuasa di negara itu tidak menerbitkan pemegangan asing di pasaran. Bagaimanapun, kami mendapati bahawa semasa penukaran risiko dan pengurangan mudah tunai dolar, pasaran modal Singapura sangat terjejas pada 2020.
"Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di kedudukan pertama," katanya.
Berhubung pandangan global, beliau menjelaskan pasaran kewangan dalam keadaan menggembirakan dengan pemulihan ekonomi bentuk V; oleh itu, beliau menjangkakan harga aset berisiko seperti mata wang pasaran pesat membangun dan bon pasaran pesat membangun akan terus meningkat pada masa ini untuk sedikit masa.
Jha berkata RHB mengunjurkan pertumbuhan global yang mengejutkan bagi penurunan dan meramalkan pertumbuhan di Asia akan berada di bawah anggaran konsensus.
Beliau menjangka dolar US akan meningkat semula berbanding kepercayaan konsensus mengenai kemerosotan yang selanjutnya pada 2021 berjumlah tiga peratus berbanding kumpulan mata wang G10 dan dua peratus berbanding mata wang Asia.
Menurut beliau, penurunan dolar US berbanding mata wang Asia dipacu oleh beberapa pemangkin, antaranya defisit perdagangan AS. Walaupun sering dalam defisit, kuantum adalah penting, katanya.
"Defisit perdagangan AS mencatatkan kemerosoton sejak musim panas tahun ini kepada kira-kira US$62 bilion daripada serendah US$65 bilion pada Ogos berbanding purata defisit perdagangan iaitu sekitar US$40 bilion.
"Kami yakin menjelang suku pertama, ia akan kembali seperti sebelum ini iaitu kira-kira US$40 bilion," katanya.
Beliau berkata, aspek kedua mengenai dolar adalah wujudnya hubungan kukuh di antara ekonomi global dengan dolar berikutan mata wang berkenaan meningkat apabila ekonomi global mengalami kelembapan.
Katanya, RHB berpendapat kemerosotan pertumbuhan global dalam separuh kedua 2021 adalah positif kepada dolar.
Di Asia, beliau menyifatkan, ia akan berlaku dalam kaedah yang sama, yang mana sekiranya pertumbuhan menguncup di rantau ini, mata wang Asia juga akan susut berbanding dolar US.
Mengenai ringgit berbanding dolar US, beliau berkata unit tempatan "tetap stabil mengikut masa" dan diunjurkan diniagakan sekitar 4.10/20 untuk separuh pertama tahun depan.
Berkenaan ekonomi Malaysia, Jha menegaskan, RHB menurunkan unjurannya terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi 2021 kepada 6.3 peratus daripada 7.0 peratus, namun, menyifatkan angka itu masih kukuh.
Jelasnya, ini berikutan penggunaan domestik yang perlahan sehingga separuh pertama tahun depan disebabkan pengangguran meningkat akibat pandemik COVID-19.
Sebagai ekonomi terbuka dengan eksport yang bergantung kepada elektronik dan farmaseutikal, inisiatif dan permintaan global dilihat mula berkurangan dan akan menjejaskan KDNK, katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #ASEAN #Malaysia #RHB #COVID-19 #Sailesh Kumar Jha #ketidakstabilan #pasaran #kewangan #mudah tunai #aliran keluar modal #pelabur #pasaran modal #bon #pemulihan ekonomi #mata wang #pertumbuhan global #Asia #destinasi pelaburan
;