Malaysia akan mempunyai 35 peratus pekerja mahir menjelang 2020
Bernama
Januari 20, 2017 22:37 MYT
Januari 20, 2017 22:37 MYT
Sebanyak 35 peratus tenaga kerja Malaysia menjelang 2020 akan terdiri daripada tenaga kerja mahir, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Beliau berkata ini menjadikan negara "berada di landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang waktu itu".
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil kepada 300 peserta 1MalaysiaGRIP (Program Persijilan Profesional dan Industri Diiktiraf Global 1Malaysia) yang menamatkan kursus kemahiran di sini, hari ini.
"Dengan tiga tahun lagi untuk ke tahun 2020, saya berbangga untuk katakan bahawa Malaysia sudah berada di landasan.
"Dan ini hasil pelbagai usaha dan inisiatif yang disusun oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang ditubuhkan pada 1993 untuk membangunkan modal insan berkualiti dan tenaga kerja bertaraf dunia," katanya.
Riot berkata HRDF yang berada di bawah naungan kementeriannya, telah menjalankan kerja cemerlang dalam menyediakan program meningkatkan kemahiran, latihan kemahiran semula dan tidak lama lagi program pelbagai kemahiran untuk pekerja di Malaysia dalam pelbagai peringkat jawatan membabitkan pelbagai industri.
"Setakat 31 Dis tahun lepas, sebanyak 23,730 majikan yang berdaftar dengan HRDF dan majikan yang tidak berdaftar telah mengambil bahagian dalam program berkenaan yang menawarkan lebih 1,000 kursus peringkat sijil.
"Di Sarawak sahaja, lebih 1,000 majikan telah mengambil bahagian dan kementerian menyediakan kos kira-kira RM9 juta," katanya.
Riot berkata adalah perlu untuk turut memasukkan pekerja atau majikan yang belum berdaftar dengan HRDF kerana kerajaan menyediakan dana sebanyak RM150 juta untuk tujuan itu.
Susulan tiga tahun lagi untuk ke 2020, katanya kini merupakan masa untuk negara menggiatkan lagi usaha dalam mengeluarkan modal insan lebih berkualiti tinggi untuk memenuhi cabaran permintaan pasaran tempatan, serantau dan global.
"HRDF akan meneruskan mandatnya untuk membantu mengecilkan demografi tenaga kerja di Malaysia yang kurang cemerlang dalam bidang akademik dalam usaha mengurangkan jurang kompetensi yang kita sebenarnya sedang hadapi," katanya.
-- BERNAMA