Malaysia akan beli gandum, produk berkaitan gandum dari Turkiye - PM
Bernama
Julai 8, 2022 19:04 MYT
Julai 8, 2022 19:04 MYT
ANKARA: Malaysia akan membeli gandum dan produk berkaitan gandum dari Turkiye dan turut meneroka peluang pelaburan berbalik berkaitan produk makanan di republik itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa syarikat Malaysia telah dikenal pasti untuk membeli gandum dan membuka ladang gandum di negara itu, antaranya Boustead Holdings.
"Saya telah mencadangkan Turkiye memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat Malaysia membuat pelaburan berbalik dalam sektor makanan, khususnya gandum dan membawa balik hasilnya.
"Presiden Erdogan tiada halangan dengan cadangan ini," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Pada Selasa di Istanbul, Boustead memeterai satu Memorandum Persefahaman dengan OYAK, dana persaraan pertama dan terbesar Turkiye yang terlibat dalam sektor-sektor utama termasuk perlombongan dan metalurgi, simen konkrit, kertas, automotif, logistik, kewangan, bahan kimia, makanan, pertanian, tenaga serta perkhidmatan.
Ismail Sabri berkata dalam pertemuan beliau dengan Erdogan di Kompleks Presiden di sini pada Khamis, antara perkara utama yang dibincangkan ialah sekuriti makanan.
Katanya kedua-dua pemimpin bersetuju supaya Malaysia dan Turkiye meningkatkan kerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil di kedua-dua negara.
Pengeluaran gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik itu adalah pengeksport bersih komoditi berkenaan. Satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia adalah dari Ukraine dan Rusia, namun, konflik perang antara kedua-dua negara itu selain keputusan India mengurangkan eksport gandum, telah memberi tekanan hebat terhadap bekalan makanan itu.
Pada 2020, Malaysia mengimport gandum bernilai RM1.46 bilion dan menjadi pengimport ke-38 terbesar dunia bagi komoditi itu dan bahan makanan tersebut juga adalah produk ke-109 paling banyak diimport oleh negara itu.
Perdana Menteri juga berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Turkiye kerana membeli minyak sawit daripada Malaysia dan menjadi pengimport ketiga terbesar selepas India dan China.
Pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu yang turut dihadiri beberapa menteri Kabinet, mereka turut membincangkan potensi untuk Turkiye meningkatkan import minyak sawit Malaysia dan menjadikan hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasaran benua Eropah dan Asia Tengah.
Pada lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta).
-- BERNAMA