Malaysia akan alami 'darurat ekonomi' - PAS
Astro Awani
Disember 3, 2014 20:06 MYT
Disember 3, 2014 20:06 MYT
PAS jangka negara akan mengalami "darurat ekonomi" pada tahun depan ekoran penurunan harga minyak dan kejatuhan nilai ringgit.
Ketua Ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, partinya juga menjangkakan akibat dua perkara besar yang berlaku itu, kadar inflasi negara juga akan meningkat.
Katanya, tidak yakin bahawa kerajaan mampu menampung penyusutan pendapatan dengan hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Baru-baru ini Petronas mengumumkan bahawa akan berlaku penurunan sumbangan pendapatan dari syarikat tersebut kepada negara sebanyak RM25 bilion.
"Ini satu jumlah yang besar, banyak projek tidak dapat dijalankan apabila Petronas terpaksa mengurangkan sumbangan pendapatannya sebanyak RM25 bilion.
"Dalam keadaan ini, rakyat akan berbelanja dengan lebih berhemah, maksudnya mereka (rakyat) tidak berbelanja, jadi tidak ada perbelanjaan, macam mana hasil GST mahu diperolehi?" katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Pada Isnin, media melaporkan penyusutan nilai mata wang ringgit, dilaporkan paling teruk sejak krisis kewangan Asia pada 1998, sebanyak kepada 3.4250 atau 1.3 peratus berbanding satu dolar Amerika.
Manakala harga minyak mentah Brent jatuh ke paras terendah lima tahun pada US$70 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) untuk mengekalkan siling pengeluaran sedia ada.