KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Group mencatatkan 12.4 juta pergerakan penumpang pada Julai 2024, peningkatan 7.3 peratus berbanding bulan sebelumnya sekali gus sebagai paras tertinggi bulanan baharu pascapandemik.

Katanya pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu oleh lapangan terbang tempatan yang merekodkan 8.5 juta pergerakan penumpang, terdiri daripada 4.5 juta penumpang antarabangsa dan 4.0 juta penumpang domestik.

Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata keadaan ini menyumbang peningkatan 8.0 peratus bulan ke bulan berbanding sehingga Jun 2024.

Pergerakan penumpang antarabangsa meningkat 11 peratus bulan ke bulan manakala pergerakan domestik menokok 5.0 peratus bulan ke bulan, katanya.

"Pasaran utama seperti Indonesia, China dan Singapura terus mendominasi pada Julai.

"Penambahan Qingdao Airlines dan peningkatan kekerapan oleh syarikat penerbangan ke dan dari China dan Indonesia menyumbang kepada jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk berjumlah 85.8 peratus," menurut kumpulan itu.

Sementara itu, katanya Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen yang juga asetnya di Turkiye mencatat 3.9 juta pergerakan penumpang pada Julai 2024, menunjukkan peningkatan 6.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Tempoh percutian musim panas, di samping pengenalan laluan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan, menyumbang kepada paras tertinggi tahunan baharu bagi pergerakan penumpang antarabangsa, yang mencecah hampir 2.0 juta, peningkatan 9.0 peratus berbanding Jun 2024.

"Pergerakan penumpang domestik turut menokok kepada 1.9 juta, meningkat 3.0 peratus bulan ke bulan," katanya.

-- BERNAMA