Malaysia Airlines umum penerbangan terus ke Paris mulai 2025

Amirul Aiman
September 6, 2024 11:40 MYT
Laluan ini merupakan destinasi ke-68 Malaysia Airlines, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya. - Foto X/France in Malaysia
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan melancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, bermula 22 Mac 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail berkata perkembangan ini penting dalam usaha pengembangan syarikat penerbangan itu ke Eropah.
“Dengan penambahan laluan ini ke dalam rangkaian Malaysia Airlines, kami akan menjadi syarikat penerbangan utama yang memulakan perkhidmatan terus dari pangkalan kami di Kuala Lumpur ke sebuah bandar di Eropah.
“Ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya,” katanya di Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2024.
Beliau berkata laluan ini akan menggunakan pesawat A350-900, menjanjikan pengalaman penerbangan bertaraf dunia.
Tambah beliau laluan ini merupakan destinasi ke-68 Malaysia Airlines, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya.
#Malaysia Airlines #penerbangan terus #Paris #Izham Ismail
;