Malaysia Airlines tingkatkan penerbangan tambahan ke Sabah, Sarawak semasa Hari Raya

Bernama
April 18, 2022 17:50 MYT
Faktor muatan Malaysia Airlines telah melepasi 90 peratus pelanggannya yang membeli tiket kelas ekonomi antara RM139 hingga RM1,047 semasa tempoh perjalanan puncak yang ditawarkan pada promosi awal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd akan menambah 20 frekuensi tambahan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu pada tempoh penerbangan puncak semasa Hari Raya bermula 28 April hingga 8 Mei 2022 bagi menampung lonjakan dalam penerbangan domestik.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu berkata dengan kekerapan tambahan lebih 7,000 tempat duduk disediakan, tambang akan diselaraskan secara dinamik ke bawah supaya pelanggan dapat menikmati tambang rendah.
"Bagi meraikan Hari Raya, Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun sehingga 20 peratus tambang penerbangan ke semua destinasi domestik untuk tempahan dari 19-27 April 2022 terhadap perjalanan serta merta sehingga 31 Julai 2022.
"Penerbangan dari Kuala Lumpur akan bermula serendah RM139 untuk tambang semua dalam satu ke destinasi Semenanjung Malaysia, dari RM209 ke Miri, Bintulu, Kuching, Sibu, Sandakan, dan dari RM262 ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan," tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail, berkata syarikat penerbangan di seluruh dunia menetapkan harga tiket penerbangan secara dinamik, tertakluk kepada permintaan dan bekalan serta berdasarkan tarikh, masa dan ketersediaan tempat duduk dalam jangka masa tertentu.
"Tambang juga akan diselaraskan dengan kesanggupan penumpang untuk membayar berdasarkan trend waktu puncak dan bermusim serta daya saing berbanding syarikat penerbangan lain.
"Ia tidak pernah menjadi hasrat Malaysia Airlines untuk menaikkan tambang yang tinggi bagi menyusahkan pelanggan kami, terutamanya semasa musim perayaan," katanya.
Beliau berkata faktor muatan Malaysia Airlines telah melepasi 90 peratus pelanggannya yang membeli tiket kelas ekonomi antara RM139 hingga RM1,047 semasa tempoh perjalanan puncak yang ditawarkan pada promosi awal.
"Kami menggalakkan pelanggan kami merancang perjalanan dan membeli tiket mereka semasa tempoh promosi yang ditawarkan oleh Malaysia Airlines dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mengoptimumkan pilihan mereka untuk menikmati "Malaysian Hospitality" kami.
"Malaysia Airlines telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan perjalanan selamat dan terjamin berikutan dakwaan syarikat penerbangan mengenakan tambang tinggi semasa musim perayaan baru-baru ini," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia Airlines #Sabah #Sarawak #harga tiket #kekerapan penerbangan #Aidilfitri #hari raya
;