Malaysia Airlines sahkan pesawat MH156 alami masalah teknikal
Firdaus Azil
Ogos 4, 2024 21:45 MYT
Ogos 4, 2024 21:45 MYT
SEPANG: Pihak Malaysia Airlines mengesahkan insiden yang melibatkan pesawat MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah, yang terpaksa berpatah balik susulan masalah teknikal sejurus selepas berlepas.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, ia berkata, pesawat tersebut selamat mendarat pada pukul 4.56 petang.
“Kesemua penumpang telah disediakan tempat penginapan sementara di sebuah hotel, dan penerbangan baharu dijadualkan pada jam 9 pagi, 5 Ogos 2024,” menurut kenyataan itu lagi.
Malaysia Airlines berkata, keselamatan dan kesejahteraan para penumpang serta krew akan terus menjadi keutamaan mereka.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan pesawat berkenaan, yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dilaporkan terpaksa berpatah balik hari ini.
Difahamkan penerbangan tersebut membawa 259 jemaah daripada bawah dua agensi untuk melakukan ibadah umrah.
Seorang penumpang mendakwa, kapal terbang tersebut mengalami gegaran sewaktu berlepas, dan berlegar-legar di ruang udara Malaysia kira-kira dua jam sebelum berpatah balik ke KLIA.
Pesawat tersebut yang berlepas kira-kira jam 2.50 petang, mencapai ketinggian 10,000 kaki, kemudian mula turun ke paras 6,000 kaki pada pukul 4.15 petang, sebelum melakukan beberapa lagi pusingan dan akhirnya selamat mendarat kira-kira jam 5 petang.