Malaysia Airlines kembalikan hidangan panas dalam pesawat

Sinar Harian
September 16, 2023 16:20 MYT
Anthony Loke berkongsi gambar hidangannya ketika mengambil penerbangan Malaysia Airlines ke Kuching.
SHAH ALAM : Malaysia Airlines kini sudah mengembalikan hidangan makanan panas secara beransur-ansur untuk beberapa sektor selepas menerima peralatan tambahan untuk penyediaan makanan dalam pesawat.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menerusi laman Facebook miliknya pada Sabtu.
Menerusi hantaran tersebut, Anthony Loke turut berkongsi gambar hidangannya ketika mengambil penerbangan Malaysia Airlines ke Kuching untuk menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada malam ini.
Anthony Loke berkata, sudah tentu hidangan 'signature' MH iaitu satay juga disediakan untuk kelas perniagaan.
"Untuk makluman, hidangan makanan panas sudah dikembalikan secara beransur-ansur untuk beberapa sektor termasuk KL-Kuching.
"Bagaimanapun, segala kesulitan yang masih dihadapi dalam penerbangan-penerbangan lain amatlah dikesali dan pihak Malaysia Airlines akan berusaha untuk memulihkan keadaan secara sepenuhnya secepat mungkin," ujarnya. - Sinar Harian
#Malaysia Airlines #hidangan dalam pesawat #makanan panas #Anthony Loke
;