Malaysia Airlines jangka penerbangan domestik pulih pada akhir 2022
Bernama
Ogos 26, 2021 18:01 MYT
Ogos 26, 2021 18:01 MYT
KUALA LUMPUR: Industri penerbangan domestik dijangka kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang akhir tahun depan.
Bagaimanapun pasaran antarabangsa dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk pulih sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi.
"Permulaan semula aktiviti dijangka bermula pada suku keempat tahun ini (industri penerbangan tempatan) dan akan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik secara kasarnya pada 2022 sekiranya keadaan (pandemik) bertambah baik.
"Bagi pemulihan penuh (pasaran antarabangsa) kami menyasarkan pada pertengahan 2023 atau awal 2024," katanya pada taklimat media secara maya yang diadakan oleh Malaysia Airlines dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di sini, hari ini.
Syarikat penerbangan nasional itu ketika ini menyediakan perkhidmatan penerbangan kepada kira-kira 1,000 penumpang sehari berbanding tahap sebelum pandemik sebanyak 38,000 penumpang sehari pada 2019 dan mengendalikan 1,700 bagasi setiap hari berbanding 36,000 bagasi sebelumnya.
Sementara itu, Ahmad Luqman berkata, Malaysia Airlines akan melaksanakan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 syarikat, dengan mengambil kira beberapa senario pemulihan.
Mengenai rancangan untuk menyambung semula operasi penerbangan Firefly, beliau berkata, ia dijangka dimulakan secara rasmi pada awal suku pertama tahun depan bergantung kepada pemulihan pasaran domestik.
Menurutnya, Malaysia Airlines masih meneruskan operasi penerbangan jarak jauhnya ke destinasi seperti United Kingdom, Australia, Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa bandar raya di ASEAN, walaupun pada kekerapan yang berkurangan. - BERNAMA