Malaysia Airlines Bhd perlu ambil langkah drastik tarik minat pekerja mahir baharu - Anthony

Bernama
September 5, 2024 18:00 MYT
Anthony Loke berkata program latihan perlu diperbanyak dan memastikan pakej pekerjaan dengan gaji setimpal ditawarkan dalam usaha menarik pekerja mahir. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia Airlines Bhd (MAB) perlu memastikan anak syarikatnya MAB Engineering Services mengambil langkah drastik untuk menarik minat pekerja mahir baharu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata program latihan perlu diperbanyak dan memastikan pakej pekerjaan dengan gaji setimpal ditawarkan dalam usaha menarik pekerja mahir.
Beliau berkata syarikat penerbangan mesti mengambil langkah memastikan mereka mampu mengekalkan atau menarik minat pekerja baharu.
"Pekerja mendapat gaji lebih tinggi sudah tentu mereka ada pilihan lebih baik. Tapi kalau dalam konteks positif ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi," katanya selepas melancarkan Malaysia Aviation Decarbonisation Blueprint (MADB) di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan ke Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2 Sept lepas, Anthony berkata perkara ini masih dalam siasatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Beliau mengulangi sekali lagi keputusan berpatah balik adalah kerana keselamatan penumpang menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu malah langkah drastik diambil termasuk mengurangkan penerbangan supaya ada ruang pesawat dihantar untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Insiden itu tidak menjejaskan sektor penerbangan negara memandangkan jumlah penerbangan, pesawat dan penumpang terus meningkat bulan ke bulan.
Beliau berkata pada tahun ini jumlah pergerakan penumpang negara meningkat dua digit setiap bulan berbanding tahun lepas dan dijangka mencapai antara 95 hingga 105 juta manakala tahun hadapan mampu kembali kepada keadaan sebelum COVID-19.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata insiden kanak-kanak bawah umur yang memandu bukan kali pertama berlaku malah tindakan itu membahayakan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata ibu bapa harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana lalai dengan membenarkan anak-anak membawa kenderaan tanpa pengetahuan.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #pekerja mahir #Malaysia Airlines #MAB
;