Malam tujuh likur tetap meriah di sebalik PKPB

Adie Sufian Zulkefli
Mei 21, 2020 09:58 MYT
Kebiasaannya aktiviti memasang pelita dilakukan pada tujuh malam terakhir menjelang Syawal untuk menghidupkan suasana selain menyambut kepulangan perantau. Gambar/ Astro AWANI
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang tradisi memasang pelita bagi menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur diteruskan penduduk di Kampung Pida 7, Jerlun di Alor Setar.
Menurut pengelola pelita kampung itu, Mohd Husaini Ishak, 28, tradisi lebih 30 tahun itu terus dipertahankan apabila kerajaan memberi kelonggaran melalui PKPB.
"Walaupun terpaksa mengikut banyak garis panduan dan arahan kerajaan bagi mengelak jangkitan COVID-19, ia tidak mematahkan semangat saya bersama 20 rakan lain untuk menghias sususan pelita dengan pelbagai reka bentuk.
"Lebih 700 buah pelita digunakan pada tahun ini dengan dekorasi pelita membentuk tulisan PKP dan tahun 2020," katanya.
Tambahnya, mereka turut menambah kilauan lampu LED bagi menghiasi pintu gerbang yang dipasang di atas jambatan kecil yang menjadi laluan pintu masuk ke kampung tersebut.
"Secara keseluruhan kami ambil masa 15 hari untuk siapkan projek ini secara berperingkat," katanya.
Bagi Mohd Al Hafiz Ali, 26, aktiviti berkenaan kebiasaannya dilakukan pada tujuh malam terakhir menjelang Syawal untuk menghidupkan suasana selain menyambut kepulangan perantau.
"Walaupun tahun ini tiada perantau yang akan pulang kerana tidak dibenarkan merentas negeri namun tradisi ini tetap diteruskan bagi mengeratkan lagi hubungan golongan muda dan tua di kampung ini.
"Kelainan tahun ini, kami tak pasang pelita di sepanjang jalan, kami hanya letak di hujung kampung, dekat titi saja sebab dalam tempoh PKPB ini mungkin tak ramai yang balik," katanya.
Sementara itu, bagi generasi pelapis, Mohd Hafzanizam Ishak, 16, dia akan meneruskan kesinambungan aktiviti berkenaan pada masa depan.
"Pada waktu petang saya datang isi minyak, bantu abang dan orang kampung. Sebelum berbuka puasa saya datang isi minyak dan selepas Maghrib saya datang semula nyalakan api. Nampak seronok dan meriah," katanya.
#anak #Kedah #kerajaan #koronavirus #Malam Tujuh Likur #minyak #pelita #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKP #PKPB #puasa #Ramadan
;