Malam Islam Bersatu program ibadah yang tidak sepatutnya dipolitikkan
Bernama
September 2, 2019 22:07 MYT
September 2, 2019 22:07 MYT
Penganjuran program Malam Islam Bersatu Bersama Dr Zakir Naik dijadual Sabtu ini, tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah program ibadah keagamaan.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata program itu juga bukan sebuah program dianjurkan kerajaan atau parti politik, sebaliknya dianjurkan Masjid Cina Melaka yang dipengerusikannya.
"Polis dan Kerajaan Melaka hanya melarang Dr Zakir Naik berceramah dan bukannya melarang beliau hadir program ibadah seperti solat fardhu berjemaah dan ibadah sunat yang lain," katanya menerusi kenyataan di sini Isnin malam.
Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah pada Isnin dilaporkan sebuah portal sebagai berkata polis tiada halangan terhadap penganjuran program tersebut ini kerana ia hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.
Mohd Rafiq berkata beliau telah memaklumkan mengenai hasrat menjemput Zakir ke Melaka kepada Ketua Menteri Adly Zahari yang memaklumkan tiada halangan terhadap kedatangan penceramah itu ke Melaka asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis.
"Saya menyeru Umat Islam seluruh negara dan Melaka untuk hadir beramai-ramai ke program ini demi merealisasikan Umat Islam yang lebih bersatu," katanya.
-- BERNAMA