Malam ini pelajar balik kampung, IPD pula 'diserbu' orang awam
Fauzi Suhaimi
April 27, 2020 16:39 MYT
April 27, 2020 16:39 MYT
Bermula malam ini, seramai 1,128 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih berada di kampus akan dihantar pulang ke kampung masing-masing.
Daripada jumlah itu seramai 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini, manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam esok (Isnin, 28 April).
Dalam perkembangan lain, di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor hari ini 'diserbu' orang awam bermula kira-kira pukul 9 pagi lagi.
Tinjauan Astro AWANI di IPD berkenaan sekitar pukul 2 petang mendapati situasinya masih sama.
Sehingga waktu itu, orang ramai masih beratur di kaunter yang disediakan dan tidak kurang juga yang berpusu-pusu ke IPD berkenaan.
Astro AWANI difahamkan, mereka yang datang ke IPD itu untuk memohon mendapatkan surat kebenaran bagi melakukan perjalanan rentas negeri selepas kerajaan memutuskan untuk membenarkannya pada suatu tempoh yang belum diputuskan.
Kebenaran itu sepatutnya adalah khusus kepada mereka yang terkandas di kampung sejak sebulan lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac lepas.
Malahan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menegaskan mereka yang berada di bandar tidak dibenarkan sama sekali untuk pulang ke kampung dalam tempoh PKP.
Selain itu, beliau turut menjelaskan tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bagaimanapun bukan bermula pada 1 Mei ini.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di IPD lain dan beberapa balai polis di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mendapati tidak berlaku sebarang kesesakan.
#Astro Awani
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#kerajaan
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#menteri
#pelajar
#polis