Malakoff sasar kapasiti tenaga biojisim 15 peratus menjelang 2027
Israr Khalid
Jun 6, 2024 16:09 MYT
Jun 6, 2024 16:09 MYT
KUALA LUMPUR:
Pengeluar kuasa bebas (IPP) terbesar negara, Malakoff Corporation Berhad, komited meneraju usaha transisi tenaga negara dengan memberi tumpuan kepada penggabungan pembakaran arang batu bersama biojisim dalam penjanaan kuasanya.
Projek yang bermula Disember 2022 di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Johor sudah mencapai kapasiti biojisim dua peratus pada suku pertama 2024, dan Malakoff merancang untuk meningkatkannya kepada tiga hingga lima peratus pada 2025, seterusnya menyasarkan sekurang-kurangnya 15 peratus menjelang 2027.
Pembakaran bersama biojisim ialah kaedah menggantikan sebahagian bahan api fosil, dalam hal ini arang batu, dengan biojisim iaitu sisa organik yang terhasil daripada tumbuhan dan haiwan, yang mana Malakoff menggunakan sisa tandan kosong (Empty Fruit Bunch, EFB) daripada hampas sawit serta palet kayu.
Kaedah ini menghasilkan tenaga yang hampir sama banyak dengan pembakaran bahan api fosil penuh, tetapi lebih bersih.
“Apabila tercapainya sasaran 15 peratus kapasiti biojisim, Malakoff dapat mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida (CO₂e) bersamaan dengan 142 juta batang pokok yang ditanam.
“Ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pembakaran arang batu sebagai sumber utama bahan bakar bagi loji janakuasa Malakoff, pada masa sama dapat menghasilkan tenaga elektrik yang cukup dan mampu digunakan oleh rakyat Malaysia.
“Memanfaatkan biojisim daripada terbuang begitu saja dapat membantu mengurangkan sisa perladangan dan pertanian yang banyak terhasil di negara ini,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Projek pembakaran bersama biojisim ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada 26 Mei tempoh hari.
Ketika ini, maklum Anwar, Malakoff sedang aktif meneroka teknologi terbaik dari Jepun dan Eropah, terutamanya United Kingdom dan Belanda, mengenai kombinasi pembakaran biojisim seperti ‘smart silo system’ yang mampu menyimpan pelbagai jenis bahan bakar biojisim dan juga penggunaan palet.
“Malakoff adalah satu-satunya syarikat IPP di Malaysia yang terpilih untuk menerajui pembakaran bersama biojisim ini, dengan kerjasama Kementerian Perladangan & Komoditi (KPK) di bawah Pelan Transformasi Tenaga Negara (NETR) untuk bersama menjayakan matlamat mencapai sifar bersih karbon seawal 2050.
“Projek pembakaran bersama biojisim ini juga selari dengan aspirasi negara untuk mencapai 40 peratus campuran Tenaga Boleh Diperbaharui menjelang tahun 2035, termasuk sasaran biojisim sebanyak 998 MW,” kata Anwar.
Sebagai IPP terbesar di negara ini dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 6,953 MW melalui ‘Malakoff Energy’ (ME), Malakoff memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan tenaga negara terjamin dan berterusan sejak 1993.
Setakat ini, jumlah pengeluaran tenaga boleh diperbaharui Malakoff adalah 168 MW, membuktikan aspirasi Malakoff yang telah meluaskan portfolionya untuk merangkumi tenaga solar, hidro kecil, dan sisa untuk menjadi sebuah syarikat yang prihatin terhadap kelestarian tenaga.
Melalui ‘Malakoff Environmental Solutions’ (MES), anak syarikat Malakoff, Alam Flora, merupakan salah satu syarikat pengurusan alam sekitar terbesar di negara ini, menguruskan sebanyak 5,748 tan sisa pepejal sehari.
Alam Flora tidak hanya membantu komuniti melupuskan sisa pepejal mereka, tetapi juga mengurangkannya daripada dihantar ke tapak pelupusan dengan menjalankan pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula di dua buah fasiliti pengasingan di Putrajaya dan juga Kuala Lumpur.
Buat masa ini, kedua-dua fasiliti ini menguruskan kira-kira 60 tan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dalam sehari.
Malakoff juga terlibat dalam pembangunan infrastruktur mobiliti bebas karbon melalui pengecasan kenderaan elektrik (EV Charger) menerusi ‘Malakoff Green Solutions’ (MGS), terbaharu adalah pemasangan dua pengecas EV (22kW) di Gas Malaysia, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.
Mereka turut mengeluarkan 10,290.1 MW Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) kepada syarikat yang berminat untuk sama-sama mencapai sasaran tenaga hijau mereka.
Kemampuan Malakoff untuk memberi sumbangan yang signifikan kepada keselamatan tenaga negara sambil kekal sebagai sebuah syarikat yang mengamalkan tenaga yang lestari adalah bukti kukuh mengenai penguasaan kami dalam sektor tenaga.