Maladi Melayu bawa malu

A Kadir Jasin
September 15, 2014 22:56 MYT
A Kadir Jasin
PANTUN lama kegemaran saya:
Pergi memburu di padang datar
Dapat rusa belang kaki
Kalau berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Versi moden yang mampu saya ilhamkan.
Pergi memburu di padang datar
Dapat rusa belang kaki
Kalau guru kurang ajar
Tentulah murid lebih lagi.
Apabila guru sanggup bocorkan kertas peperiksaan dan buat bermacam-macam dosa dan angkara, bagaimanakah kita hendak mengajar anak-anak kita agar tekun dan berwibawa?
Guru kencing berdiri
Murid kencing berlari.
Dan mengapakah kita harus marah dan kecil hati apabila (Tun) Dr Mahathir Mohamad berkata, “the Malays are lazy”?
Tidak semua Melayu malas. Itu pasti.
Ramai Melayu yang rajin, tekun dan cemerlang. Diberi tongkat mereka ubah jadi dayung dan tiang.
Ramai Melayu, umpama kata Hang Tuah, tidak hilang di dunia. Mereka mencipta nama dan hidup senang di merata dunia.
Tetapi ada juga Melayu yang merempat di negara sendiri. Diberi benih, benih mereka makan. Diberi baja subsidi, baja mereka jual untuk berjudi dan berjoli.
Hutang keliling pinggang beli Honda, Yamaha dan Suzuki kemudian jadi Mat Rempit berlumba haram sampai mati.
Jadi saya sekali lagi bertanya, Melayu yang macam mana hendak kita perkasa ekonominya?
Yang memerintah Melayu. Yang berdakwah, berceramah dan bermuhasabah Melayu. Yang ramai jadi polis, kastam, guru dan imigresen pun macam Melayu.
Yang ramai kena tangkap rasuah dan menipu pun Melayu. Melayu terima rasuah masuk penjara. Cina dan India yang bagi rasuah tidak jadi apa-apa. Kalau adapun sekerat dua.
Serangkap daripada sajak “Melayu” oleh Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang:
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan.
Wallahuaklam.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Tulisan ini pertama kali tersiar di blog The Scribe A Kadir Jasin
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
#A Kadir Jasin #Mahathir #Melayu #UPSR
;