Maktab Tentera Diraja (RMC) bukan institusi 'biasa-biasa' - Khaled Nordin

Azib Zikry
Mac 10, 2024 10:50 MYT
MTD merupakan sebuah institusi pengajian yang unik berbanding sekolah-sekolah berasrama penuh dan harian yang lain. - Foto X/Maktab Tentera Diraja
KUALA LUMPUR: Penubuhan Maktab Tentera Diraja (MTD) atau RMC merupakan satu agenda nasional penting yang bakal menyertai ketumbukan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata putera MTD memberu sumbangan bermakna kepada negara dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kesinambungan pengajian dan kerjaya yang mendukung kepentingan negara, khususnya dalam sektor pertahanan.
"Sektor pertahanan negara memerlukan bakat terbaik. Pertahanan negara harus digerakkan dan didukung oleh putera-putera terbaik bangsa yang dilahirkan oleh MTD.
"Sebab itulah, kerajaan tidak kisah untuk terus berbelanja sehingga kira-kira RM21 juta setiap tahun untuk MTD termasuklah emolumen pegawai, guru-guru serta kakitangan.
"Malah, bagi membiayai segala keperluan dan kebajikan sepanjang 2 tahun berada di sini, kita memperuntukkan sebanyak kira-kira RM27 ribu bagi seorang penuntut MTD," katanya lagi.
Menurutnya, sebagai sebuah institusi pendidikan peringkat menengah yang berbeza dan unik, MTD adalah institusi harapan Kementerian Pertahanan.
"Kita mahu MTD terus memainkan peranan strategiknya dalam melahirkan bakal pemimpin ulung dalam sektor pertahanan negara.
"Malah, saya tidak pelik, jika suatu hari nanti, pemimpin teratas negara kita, lahir dari kalangan putera Maktab Tentera Diraja," katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Perbarisan ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan bertujuan menghargai dan mengiktiraf kejayaan Putera tingkatan lima yang telah berjaya menamatkan pengajian selama tempoh dua tahun di MTD.
MTD merupakan sebuah institusi pengajian yang unik berbanding sekolah-sekolah berasrama penuh dan harian yang lain dengan menawarkan silibus akademik yang dinamik disokong dengan penerapan modul ketenteraan bagi melahirkan seorang pemimpin yang berwibawa, berketerampilan dan bersahsiah mulia.
Institusi ini juga merupakan sebuah Maktab yang menyediakan dan melatih para penuntutnya untuk berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional.
Antaranya sebagai bakal Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam dan pemimpin dalam bidang ikhtisas, perdagangan dan perusahaan negara.
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Mohamed Khaled Nordin #pendidikan #Maktab Tentera Diraja
;