Maksud sebenar 'Bersekutu bertambah mutu' pada jata negara Malaysia
Mohd Hazmi Mohd Rusli
Jun 14, 2016 14:42 MYT
Jun 14, 2016 14:42 MYT
‘Bersekutu bertambah mutu’ – inilah moto kebangsaan yang tertera megah pada jata negara kita.
Baru-baru ini, terdapat seruan di dalam Malaysia yang memberi ancaman untuk berpecah dari Persekutuan.
Seruan ini amat berbahaya kepada kestabilan dan kesejahteraan negara kita.
Malaysia hanya boleh kekal unggul dan maju melalui pemersatuan, bukannya perpecahan.
Bilakah agaknya kita akan belajar dari sejarah kita sendiri?
Penjajahan
Orang-orang Melayu telah membina ketamadunan yang hebat di rantau ini.
Kepulauan Melayu adalah medan kepada kewujudan empayar Melayu yang berpengaruh seperti Langkasuka, Srivijaya, Majapahit dan Kesultanan Melaka.
Kekayaan negeri-negeri Melayu ini telah menarik banyak kuasa-kuasa luar yang bercita-cita untuk menakluk dunia.
Kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung sentiasa diancam oleh kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun.
Tidak seperti kerajaan serantau lain seperti Siam dan Burma, negeri-negeri Melayu seringkali tidak bersatu, sentiasa memerangi satu sama lain menyebabkan mereka menjadi sasaran penjajahan oleh kuasa-kuasa imperialis.
Perang Tiga Segi (Aceh-Johor-Portugis)
Kejatuhan Melaka pada tahun 1511 telah melahirkan Kesultanan Johor, yang ditubuhkan pada tahun 1528 oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II, putera Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir.
Pedagang Muslim telah mula menghindari Melaka sejak penjajahan Portugis dan lebih memilih untuk berlabuh di Aceh.
Johor dan Aceh bersama-sama muncul sebagai kuasa serantau yang disegani tetapi kedua-duanya enggan bekerjasama untuk mengusir Portugis.
Perang Tiga Segi ini berlangsung selama satu abad tanpa sebarang pemenang mutlak yang berhasil untuk menjadi penguasa sebenar Selat Melaka.
MESTI BACA: Bolehkah Persekutuan Malaysia berpecah?
Pemerintah Aceh dan Johor, walaupun serumpun tidak rukun dan ini membolehkan Portugis berkuasa di Melaka sehingga kedatangan Belanda pada tahun 1641.
Senario politik di Kepulauan Melayu pasti akan jadi lebih menarik sekiranya Aceh dan Johor bersatu untuk mengusir Portugis bagi mengangkat kedaulatan Islam dan Melayu di rantau ini.
Sayangnya, ini tidak berlaku.
Perjanjian British-Belanda 1824
Pada kurun ke tujuhbelas Masihi, kerajaan Johor-Riau muncul sebagai sebuah kuasa maritim dengan wilayah yang luas bertebaran di Semenanjung Melayu, Pulau Sumatera dan kepulauan Riau.
Pada tahun 1819, Sultan Hussein telah menyerahkan Singapura kepada Stamford Raffles untuk membolehkan baginda mendapatkan pengiktirafan pihak British.
Penyerahan ini meninggalkan kesan yang mendalam di mana Singapura tidak lagi menjadi sebahagian dari negeri Johor dan kini merupakan sebuah negara yang berbeza.
Bukan sahaja itu, perebutan takhta di antara waris-waris diraja telah membolehkan pihak British dan Belanda mengambil kesempatan mengukir garisan sempadan membelah Selat Melaka kepada dua bahagian menerusi Perjanjian British-Belanda 1824.
Akibat daripada itu, terpisahlah orang-orang Melayu di Pulau Sumatera dengan saudara-saudara mereka di Semenajung Melayu kepada dua negara yang berbeza yang kesannya dapat dirasai sehingga ke hari ini.
Perjanjian British-Siam 1909
Nasib negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung tidak jauh bezanya.
Pemerintah Perlis Kedah, Kelantan dan Terengganu pada awal kurun ke 20 terlalu lemah dan tidak bersekutu untuk menangkis dominasi Siam dan British.
Johor yang masih kekal sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat pada ketika itu juga tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan negeri-negeri Melayu yang diancam penjajahan ini.
Pemerintah-pemerintah Melayu di negeri-negeri ini hanya dapat menyaksikan tanpa daya bagaimana negeri-negeri serumpun mereka iaitu Satun, Pattani, Yala dan Narathiwat dijajah dan dipaksakan tanpa rela untuk menjadi sebahagian dari Siam menerusi Perjanjian British-Siam 1909.
MESTI BACA: Apa hak Filipina untuk menuntut Sabah?
Tidak ada satu pun dari kalangan pemerintah negeri-negeri Melayu ini yang dipanggil untuk berunding dalam Perjanjian tersebut yang telah melukiskan garis sempadan di antara Thailand dan Malaysia yang digunapakai sehingga ke hari ini.
Gagasan Malayan Union
Pihak British telah mencadangkan gagasan Malayan Union pada tahun 1946, setelah pihak Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.
Malayan Union ialah sebuah gagasan untuk mempersatukan negeri jajahan dan naungan British di Tanah Melayu dalam satu entiti politik yang lebih kukuh.
Gagasan ini walaubagaimanapun bakal mengorbankan hak dan kepentingan orang Melayu menerusi pemberian kerakyatan jus soli kepada orang-orang bukan Melayu.
Sir Harold Macmichael, bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin telah berjaya mendapatkan tandatangan persetujuan dari sultan-sultan Melayu. Sultan Ibrahim, Sultan Johor pada ketika itu adalah yang paling awal menurunkan tandatangan mempersetujui gagasan Malayan Union.
MacMichael telah mengancam sultan-sultan Melayu yang enggan menandatangani gagasan ini sebagai sahabat serta tali barut Jepun dan bakal menerima padah.
Tiadanya kesatuan dikalangan sultan-sultan telah membuka peluang bagi MacMichael untuk melancar dan mempercepatkan rancangan untuk mewujudkan Malayan Union – suatu gagasan yang hampir menjual hak dan kepentingan orang-orang Melayu di negara mereka sendiri.
Jika tidak kerana Dato’ Onn bin Jaafar dan rakyat yang bersatu menentang Malayan Union, apalah agaknya yang akan terjadi kepada nasib orang Melayu pada hari ini?
Kesimpulan
Sorotan-sorotan sejarah ini hanyalah beberapa contoh yang mengisahkan kesilapan dan kelalaian pemerintah-pemerintah Tanah Melayu yang terdahulu yang seringkali terlibat dengan konflik dalaman berkaitan soal perebutan takhta sehingga menyebabkan tanah tumpah darah kita dijajah dan dijarah beratus tahun lamanya.
Sejarah mengajar kita bahawasanya kita hanya boleh berjaya menerusi persekutuan dan pemersatuan.
Malaysia milik semua rakyat Malaysia dan tiada siapa pun berhak membawa keluar mana-mana negeri dalam Persekutuan.
Seruan-seruan pemisahan ini sangat tidak diundang, berbaur hasutan yang boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan yang boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan.
Marilah kita sama-sama menanamkan rasa cinta, bukannya kebencian dan bersatu di bawah semangat ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ demi membina masa depan negara yang lebih gemilang.
Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.