Makmal dadah dibongkar, dadah bernilai RM300,000 dirampas

Bernama
Julai 8, 2015 15:14 MYT
Polis berkata rumah tiga tingkat milik kakak lelaki terbabit diserbu kira-kira pukul 1 pagi hasil maklumat awam dan risikan.
Polis membongkar sebuah makmal dadah dan menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Gambir, di sini awal hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata rumah tiga tingkat milik kakak lelaki terbabit diserbu kira-kira pukul 1 pagi hasil maklumat awam dan risikan.
"Semasa serbuan, lelaki berusia 36 tahun itu berada di rumah itu bersama ibu bapanya berusia 68 tahun dan hasil pemeriksaan polis menemui sebuah makmal dadah di sebuah bilik di tingkat tiga rumah terbabit.
Siasatan awal mendapati ibu bapa lelaki itu tidak mengetahui anak lelakinya menjalankan aktiviti memproses dadah di tingkat tiga rumah berkenaan dan setakat ini polis tidak menahan mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di bilik itu, polis merampas serbuk ecstacy seberat 1.4 kg, serbuk wy (700 gram), pil ecstacy (355 biji), serbuk dadah (200 gram), syabu (31 gram) dan pelbagai peralatan memproses dadah.
Guan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat memproses dadah sejak enam bulan lepas dan dia juga merupakan anggota sindiket menghasil dan mengedar dadah.
"Semasa serbuan kakak kepada lelaki itu tiada di rumah kerana dikatakan bekerja, jadi polis akan memanggil wanita berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata sindiket itu menghasilkan dadah di rumah berkenaan sebelum diedar di sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri kawasan utara.
#Dadah #jenayah #polis #PRDM #Syabu