Maklumkan tentang warga emas tinggal bersendirian kepada Talian Kasih - Rina

Bernama
Jun 8, 2021 20:35 MYT
Datuk Seri Rina Harun meminta anak-anak, waris atau orang ramai yang mengetahui tentang warga emas tinggal bersendirian agar memaklumkan hal itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pemantauan. - Foto ihsan KPWKM
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun meminta anak-anak, waris atau orang ramai yang mengetahui tentang warga emas tinggal bersendirian agar memaklumkan hal itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pemantauan.
Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan kejadian sama seperti yang menimpa dua warga emas yang ditemukan meninggal dunia tanpa disedari di Pasir Gudang pada Ahad lepas berulang.
Katanya maklumat berkenaan boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-2615999.
"Kita boleh gerakkan sukarelawan untuk memantau keadaan mereka dan JKM boleh turun untuk buat pemantauan," katanya kepada pemberita selepas program Edaran Bakul Prihatin Titiwangsa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di sini hari ini.
Berita mengenai pasangan suami isteri warga emas, masing-masing berusia 68 dan 61 tahun, yang ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor itu dilaporkan semalam.
Dalam perkembangan lain, Rina berkata pihak Talian Kasih turut menerima sebanyak 1,244 panggilan berkaitan keganasan rumah tangga setakat ini bagi tahun ini.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis serta Kementerian Kesihatan supaya kes seumpama itu tidak berterusan.
- BERNAMA
#Rina Harun #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #Talian Kasih #15999 #warga emas #KPWKM
;