Maklumkan penumpang pindaan waktu penerbangan seawal mungkin - Loke

Bernama
Ogos 22, 2018 13:14 MYT
Ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditutup bersempena sambutan Hari Kebangsaan. - Gambar fail
Syarikat penerbangan diminta memaklumkan kepada penumpang mereka seawal mungkin berhubung pindaan waktu penerbangan susulan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini bagi memudahkan para penumpang merancang semula perjalanan mereka.
Beliau berkata tiada sebarang pembatalan penerbangan akan dibuat susulan penutupan ruang udara sekitar KLIA dan klia2 selama lima hari bermula 27 Ogos untuk pertunjukan udara bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.
"Saya harap syarikat penerbangan tolong maklumkan penumpang mereka mengenai perkara ini dan syarikat penerbangan sendiri perlu mengatur semula jadual penerbangan pesawat mereka," katanya kepada pemberita pada program Serahan Jalur Gemilang di sjni, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata penutupan ruang udara bagi program sambutan hari kemerdekaan itu bukanlah kali pertama dilakukan.
"Saya harap orang ramai dapat memberikan kerjasama kerana ini terpaksa dilakukan bagi menyambut hari kemerdekaan negara kita," katanya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semalam memaklumkan penutupan sementara terhadap ruang udara sekitar KLIA dan KLIA2 selama lima hari adalah bagi tempoh bermula pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi berkuat kuasa mulai 27 sehingga 31 Ogos.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata pihak kementerian sudah mengenal pasti kaedah baharu pengendalian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Saya akan adakan perjumpaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum ia dimuktamadkan, kemudian baru kita akan maklum (kepada umum)," katanya.
Loke sebelum ini mengumumkan perjanjian konsesi dua syarikat yang mengendalikan sistem AES sebelum ini akan tamat kontrak akhir bulan ini dan selaras dengan keputusan tersebut, semua saman AES yang dikeluarkan sejak ia mula dilaksanakan sehingga tarikh tamat perjanjian konsesi itu dibatalkan.
Berhubung pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Loke berkata kerajaan akan menambah baik landasan keretapi sedia ada bagi memastikan jaringan pengangkutan penduduk di Pantai Timur lebih efektif.
"Walaupun ECRL dibatalkan namun kita beri jaminan kepada penduduk Pantai Timur bahawa mereka tidak akan diabaikan dan kita akan pastikan mereka mendapat jaringan pengangkutan yang efektif," katanya.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #Hari Kebangsaan #KLIA #KLIA2 #Malaysia #penerbangan #penutupan ruang udara #pesawat
;