Maklumat tular mengenai UEC adalah palsu - JPM

Bernama
Disember 7, 2022 13:37 MYT
JPM dalam hantaran menerusi Facebook hari ini memaklumkan maklumat palsu itu disebar menggunakan akaun Twitter palsu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto: Asia Experience Tours
KUALA LUMPUR: Maklumat yang tular dalam media sosial khususnya Twitter menerusi hantaran bertajuk 'Pengiktirafan UEC akan dibincangkan dan usul akan diluluskan kelak oleh Kerajaan Perpaduan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan', adalah palsu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam hantaran menerusi Facebook hari ini memaklumkan maklumat palsu itu disebar menggunakan akaun Twitter palsu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
JPM dalam catatan itu juga menjelaskan mengenai perbezaan antara akaun Twitter Perdana Menteri yang sebenar dengan akaun Twitter Perdana Menteri palsu yang menyebarkan maklumat mengenai UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) berkenaan.
Menerusi catatan itu, JPM menunjukkan Twitter sebenar Perdana Menteri iaitu @anwaribrahim dan akaun yang menyebarkan maklumat palsu mengenai UEC iaitu @anwarinrahim yang menggunakan gambar Perdana Menteri sama seperti akaun Twitter sebenar.
Perdana Menteri turut berkongsi catatan JPM melalui Facebook beliau hari ini.
"Maklumat melalui akaun media sosial tersebut adalah palsu. Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu," menurut JPM.
JPM turut meminta orang ramai supaya merujuk kepada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri untuk berita sahih di semua platform media sosial iaitu akaun Facebook Anwar Ibrahim, akaun Twitter @anwaribrahim, Instagram @anwaribrahim_my dan TikTok @anwaribrahimnofficial.
-- BERNAMA
#media sosial #maklumat palsu #Twitter #Anwar Ibrahim
;