Maklumat pemain Kuching City, Kalang Tie bawa kepada penemuan remaja hilang

Sinar Harian
Jun 30, 2024 12:45 MYT
Ibu remaja itu, Nik Nurhayati menunjukkan foto Muhammad Danish sambil diperhatian Muhammad Addam, ketika berusaha mencari anak mereka sebelum ini. - Gambar fail
JEMPOL: Selepas 20 hari dilaporkan hilang, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Rembau, Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam,13, akhirnya ditemui di Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat.
Anak sulung daripada empat beradik itu kini berada di kediaman keluarganya di Batu Kikir di sini selepas dibawa pulang oleh bapanya kira-kira jam 1 pagi.
Muhammad Addam Wahab, 30, berkata, dia mendapat maklumat daripada kenalannya berhubung penemuan anaknya itu menerusi perkongsian di media sosial pemain bola sepak Kuching City, Joseph Kalang Tie.
"Setelah berhubung dengan beliau (Joseph), ternyata remaja itu ialah anak saya dan saya (terus) bergegas ke Kuala Lumpur dari Terengganu mencarinya di kawasan Pudu, Chow Kit serta kawasan sekitar.
"Alhamdulillah kami jumpa Danish di lokasi terakhir iaitu di Dataran Merdeka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu katanya, dia bersyukur Danish dalam keadaan sihat namun mengambil sedikit masa untuk menceritakan punca dia bertindak sedemikian (menghilangkan diri) susulan keadaannya sedikit keliru.
"Apa juga alasannya kami berlapang dada malah lega akhirnya Danish pulang ke pangkuan keluarga.
"Terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti menyalurkan maklumat mengenai keberadaan Danish," katanya yang memaklumkan ke Terengganu sebelum itu susulan Danish didakwa berada di sana.
Pada Rabu lalu, Joseph menerusi perkongsian di media sosial mendakwa terserempak dengan remaja berkenaan ketika sedang melakukan senaman pagi bersama rakan sepasukan sebelum warganet memaklumkan remaja berkenaan merupakan individu yang hilang sejak 9 Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed ketika dihubungi pada Ahad mengesahkan sepanjang remaja berkenaan melarikan diri dia dalam keadaan baik dan tidak dikurung atau dicederakan.
“Semasa berada di Kuala Lumpur iaitu sekitar Dataran Merdeka, remaja hilang ini memaklumkan mahu mencari kerja dan bertemu dengan seorang lelaki lalu diberi pekerjaan menjual kek.
"Bagaimanapun kira-kira jam 1 pagi, remaja tersebut dibawa ke Dataran Merdeka sebaik mengetahui bapanya sedang mencarinya dan telah diserahkan kepada bapanya itu.
"Ayahnya akan pindahkan remaja itu ke sekolah berhampiran rumahnya di Jempol," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Danish disedari hilang oleh warden sekolah kira-kira jam 11 malam selepas mendapati pelajar itu tiada semasa sesi panggil nama pelajar asrama. - Sinar Harian
#Muhammad Danish #budak hilang #Kuching City FC #Joseph Kalang Tie
;