Maklumat ancaman pengganas di Kuala Lumpur perlu dikongsi bersama - KPN

Bernama
Februari 23, 2016 08:00 MYT
KHALID: Jika Australia mengetahui sesuatu, sepatutnya dikongsi bersama kami.
Amaran berjaga-jaga terhadap ancaman pengganas di Kuala Lumpur yang dikeluarkan kerajaan Australia dalam laman web rasminya perlu dirujuk dan dikongsi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM sepatutnya dimaklumkan mengenai perkara itu terlebih dahulu bagi mengelakkan imej Malaysia menjadi buruk selain menakutkan rakyat negara ini.
"Saya tidak mengetahui asas kerajaan Australia mengeluarkan kenyataan itu kerana jika mereka mengetahui sesuatu, sepatutnya mereka kongsi bersama kami.
"Ini kerana kami akan selalu kongsi apa sahaja maklumat atau keadaan keselamatan khususnya berkenaan kegiatan pengganas," katanya.
BACA: Keadaan di Kuala Lumpur terkawal - Ketua Polis KL
BACA: Kerjasama semua kementerian 'buang' trauma pelancong - Mas Ermieyati
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di lapangan rondaan bersama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pavilion di sini pada Isnin.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
"Saya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia dan pelancong asing bahawa keadaan di ibu kota masih selamat dan terkawal daripada mana-mana ancaman anasir luar," katanya.
Menurut kenyataan laman web rasmi Australia, rakyatnya diberi amaran berjaga-jaga dengan ancaman pengganas yang mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tahap keselamatan di Sabah, Khalid berkata keadaan di negeri itu masih selamat.
"Kami tahu di sebelah Sabah sana khususnya di kawasan pantai timur masih ada lagi ancaman jenayah, maka PDRM dan ATM mengambil langkah proaktif dengan memastikan keselamatan di sana sentiasa terjamin," katanya.
#amaran Australia #keadaan keselamatan di Kuala Lumpur #Khalid Abu Bakar #pengganas di Kuala Lumpur #serangan pengganas
;